fbpx

Dua tonggak senior perkuat Malaysian Tigress

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SKUAD hoki wanita negara bakal diperkuat dengan kehadiran dua tonggak senior selepas ini. - MHC

KEHADIRAN semula dua tonggak senior, Noor Hasliza Md Ali dan Fatin Shafika Mahd Sukri, menjadi suntikan semangat yang cukup bermakna buat skuad hoki wanita kebangsaan dalam kempen persiapan menuju kejohanan utama tahun ini.

Ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan pengalaman serta kepimpinan dimiliki dua tonggak berpengalaman itu memberi dimensi baharu dalam pasukan, terutama dalam aspek membentuk karakter pemain muda di atas padang.

“Sudah tentu kemasukan semula mereka sangat memberi impak positif, terutamanya dari sudut kepimpinan di atas padang. Mereka yang sentiasa memberi motivasi dan panduan kepada pemain muda, termasuk kapten pasukan,” katanya.

Menurut Nasihin, kehadiran dua pemain senior itu bukan sahaja mengukuhkan struktur permainan, malah menjadi faktor penting ketika skuad negara mencatat kemenangan penutup 2-1 ke atas Afrika Selatan dalam siri aksi persahabatan baru-baru ini.

“Walaupun kami bermula agak perlahan dalam siri tersebut, namun kehadiran mereka menaikkan semangat pasukan dan memberi arah jelas kepada pemain lain. Mereka turut menjadi suara penting dalam membentuk disiplin taktikal pasukan,” jelasnya.

Nasihin turut mengakui proses pemilihan skuad kali ini bukan tugas mudah, memandangkan ramai yang menunjukkan prestasi positif, termasuk beberapa bakat muda serta bekas pemain kebangsaan dipanggil semula.

“Saya tekankan kepada semua pemain, siapa sahaja yang diturunkan mesti bersedia untuk beri 100 peratus. Itu yang kita nampak dalam perlawanan ketiga dan keempat, di mana disiplin taktikal dan semangat juang sangat tinggi,” tambahnya.

Dalam pada itu, Nasihin menjelaskan kemenangan pada aksi terakhir itu penting sebagai pembakar semangat menjelang perancangan lebih besar termasuk persediaan menghadapi Piala Dunia Remaja serta kejohanan lain di peringkat antarabangsa.

Dengan gabungan tenaga muda yang segar dan bimbingan berharga daripada pemain berpengalaman, Malaysian Tigress kini berada pada landasan positif dalam membentuk pasukan lebih mantap untuk cabaran akan datang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI