fbpx

Dua remaja maut dirempuh kereta gagal berhenti di lampu isyarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kemalangan mengorbankan dua remaja lelaki di persimpangan lampu isyarat Matahari Height, Persiaran Senawang 1, di sini, malam semalam. -IHSAN POLIS

SEREMBAN – Dua remaja lelaki maut manakala tiga parah dalam kemalangan melibatkan dua motosikal yang dirempuh sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat di Persiaran Senawang 1 berhampiran Matahari Height, di sini, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, pada kejadian pukul 8.30 malam itu, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss berumur 15 dan 16 tahun maut di lokasi kejadian.

Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila sebuah kereta jenis Honda Jazz yang dipandu oleh seorang remaja lelaki berusia 18 tahun bersama seorang penumpang lelaki berusia 17 tahun sedang bergerak dari arah Senawang menuju ke Paroi.

“Semasa tiba di lokasi kejadian, pemandu kereta itu dipercayai gagal berhenti di lampu isyarat merah lalu melanggar dua buah motosikal yang datang dari arah sebelah kiri.

“Akibat kemalangan ini, penunggang dan pembonceng motosikal jenis Modenas Kriss yang parah di bahagian kepala disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Katanya, pemandu dan penumpang Honda Jazz serta penunggang dan pembonceng motosikal jenis Honda Vario mengalami kecederaan parah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa penunggang dan pembonceng motosikal yang maut dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Rembau untuk urusan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI