ALOR SETAR – Seorang ahli perniagaan yang disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM400,000 berkaitan hak penggunaan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri direman selama lima hari bermula hari ini.
Perintah tahanan reman ke atas lelaki berusia lingkungan 40-an itu dikeluarkan Majistret Siti Norhidayah Mohd. Noor selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret di sini hari ini.
Menurut sumber, suspek disyaki meminta dan menerima wang rasuah tersebut sebagai balasan untuk mendapatkan hak penggunaan tanah milik anak syarikat kerajaan negeri.
Katanya, suspek ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah, di sini kira-kira pukul 3.25 petang semalam.
“Berdasarkan siasatan awal, suspek dipercayai meminta wang rasuah berkenaan sebagai balasan membantu mendapatkan hak penggunaan tanah bagi satu projek usaha sama. Suspek dipercayai melakukan kesalahan berkenaan sekitar Jun 2020,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Datuk Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan tangkapan ke atas suspek dan memberitahu kes itu disiasat di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009. – KOSMO! ONLINE