PUTRAJAYA- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menegaskan pihaknya tidak menerima arahan daripada sesiapa untuk menyiasat beberapa kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan yang dilakukan ke atas bekas Perdana Menteri itu adalah berdasarkan aduan serta maklumat yang diterima pihaknya.
“Kita menyiasat (kes ini) secara profesional dan adil tanpa melihat sebarang darjat atau kedudukan.
“Tidak ada arahan daripada sesiapa. Kami bertindak atas inisiatif sendiri berdasarkan maklumat dan aduan yang kami terima,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat SPRM di sini hari ini.
Semalam, media melaporkan, SPRM mengesahkan Ismail Sabri kini disiasat pihaknya berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Fokus siasatan tertumpu kepada perbelanjaan dan perolehan dana bagi tujuan promosi serta publisiti semasa ahli Parlimen Bera itu ketika menerajui kerajaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Azam memaklumkan, setakat ini pihaknya tidak membekukan akaun Yayasan Keluarga Malaysia dan akaun persendirian milik Ismail Sabri.
Jelas beliau, akaun Yayasan Keluarga Malaysia juga bukanlah milik individu dan masih lagi aktif.
“Setakat ini kita membekukan sebanyak 13 akaun bank bernilai RM2 juta. Kebanyakan akaun suspek yang dibekukan dan berhubung Ismail Sabri kita tidak membekukan lagi akaun beliau.
“Akaun beliau sedang disiasat dan kita akan meminta penjelasan untuk beliau menerangkan tentang semua akaun yang ada dan juga apa-apa yang patut kita tanya beliau tentang penemuan wang itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE