SUNGAI PETANI – Anak-anak kepada Sabari Baharom yang menjadi mangsa pembunuhan kejam dengan jasadnya dicampak ke Sungai Padang Terap dekat sini pada September tahun lalu tidak akan memaafkan pelakunya sampai bila-bila.
Sepanjang Ramadan ini, mereka juga memperbanyakkan doa agar jasad ayah dijumpai semula selepas lima bulan hilang di sungai tersebut.
Anak bongsu Sabari, Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata, dia bersama dua kakaknya, Suraiya Izzaty, 29, serta Nur Aina Sofiya, 28, berharap proses perundangan terhadap dua suspek berjalan lancar dan keadilan akan berpihak kepada mereka.
“Kami mahu hukuman setimpal dikenakan kerana tindakan kejam mereka (suspek) membunuh ayah telah memisahkan kami sekeluarga. Untuk maafkan suspek tidak sama sekali,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Muhammad Amir yang juga seorang jurutera berkata, kehilangan ayahnya sejak 4 September tahun lalu sehingga kini, memberi kesan mendalam kepada keluarga terutama dirinya.
Katanya, banyak kenangan manis yang sukar dilupakan ketika bersamanya.

“Apabila pulang bercuti, saya sering teman ayah ke kebun. Ketika dia meracun rumput atau membersihkan kebun, saya dilarang membantunya kerana risau saya letih atau cedera,” ujarnya.
Menurutnya, sambutan hari lebaran tahun lepas paling meriah dalam keluarga mereka apabila dapat beraya lebih lama di kampung bersama ayahnya berbanding tahun sebelumnya.
“Ayah juga nampak ceria dengan menyediakan ketupat palas sendiri, mengajak kami keluar membeli pakaian raya selain beriya-iya meminta kami bergambar bersamanya untuk disimpan sebagai kenangan.
“Tahun ini semua itu tidak akan berulang dan bagi mengelakkan kesedihan, saya dan kakak akan beraya di rumah keluarga sebelah ibu di Kelantan, selain tidak bercadang mengenakan pakaian sedondon lagi,” katanya.
Anak sulung Sabari, Suraiya pula berkata, jika jasad ayahnya ditemukan semula, maka hilang segala beban yang ditanggung keluarga selain dapat memenuhi hasrat untuk dikebumikan seperti orang lain.
“Saya dan dua adik, Nur Aina Sofiya dan Muhammad Amir akan memperbanyakkan doa memohon Allah menunaikan permintaan kami.
“Memang kami menunggu ketibaan Ramadan, bulan yang mulia dan penuh berkat ini untuk menadah tangan memohon Allah perkenankan doa agar jasad ayah dijumpai,” katanya yang juga seorang doktor gigi dan bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, Sabari, 62, pesara pegawai kewangan Felcra hilang pada 4 September tahun lalu sebelum kereta Proton Waja miliknya ditemukan hangus terbakar, 17 hari kemudian di Belantik, Sik.
Siasatan lanjut polis kemudiannya berjaya menahan dua suspek berumur 26 dan 38 tahun yang mengaku mencampakkan mangsa hidup-hidup ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.

DI Sungai Padang Terap, Jitra inilah Sabari dicampak hidup-hidup selepas disamun.
Suspek seorang kontraktor, manakala seorang lagi anak saudara suspek.
Bagaimanapun, sehingga kini, jasad mangsa masih belum ditemukan.
Siasatan polis percaya samun adalah motif pembunuhan kejam Sabari apabila mangsa diserang suspek ketika berada di rumahnya seorang diri di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling.
Ketika kejadian, Sabari tidak melawan dan menurut segala kemahuan suspek termasuk memberi wang serta kad bank.
Suspek dipercayai terpaksa melarikan Sabari apabila mangsa ternampak wajah suspek yang dikenalinya sebelum keretanya dibakar.














