SAUDARA PENGARANG,
SAYA memuji inisiatif pihak berkaitan seperti E-Idaman Sdn. Bhd. (E-Idaman) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang menyediakan sangkar kitar semula di kawasan taman perumahan.
Namun, segelintir pengguna didapati menyalahgunakan sangkar itu dengan membuang pelbagai jenis sampah yang tidak termasuk dalam kategori kitar semula di situ termasuk makanan serta pakaian dan kasut terpakai.
Sakit mata memandang apabila barang buangan itu memenuhi sangkar dan ada ketika berselerak di bahu jalan dan kawasan berhampiran.
Malah, ada yang memasukkan barang buangan tidak mengikut kategori ditetapkan iaitu untuk plastik, kertas dan tin aluminium.
Terbaharu, sejumlah tilam lama dilonggokkan di atas sangkar yang mana ia sangat mencacatkan pemandangan di kawasan itu.
Tidak cukup itu, ada individu tidak bertanggungjawab melekatkan iklan ‘ubat kuat lelaki’ pada sangkar berkenaan.
Sudahlah sangkar tersebut terletak betul-betul bersebelahan kawasan permainan kanak-kanak serta berdekatan rumah penduduk.
Masalah ini lebih kepada kesedaran orang ramai yang mana pihak berkaitan boleh mendidik atau mengenakan tindakan ke atas individu yang didapati membuang sampah tidak sepatutnya di sangkar kitar semula itu.
Kak Ma
Alor Setar