fbpx

Kes jagaan anak paling ‘complicated’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Isu hak jagaan anak kembali menjadi tumpuan apabila kes melibatkan personaliti media sosial, Cik Epal yang didakwa dihalang daripada bertemu anak-anaknya selama tiga bulan meskipun terdapat perintah Mahkamah Syariah.

Isu ini tular di awal Ramadan, mencetuskan perdebatan hangat dalam kalangan netizen yang mempersoalkan mengapa perintah mahkamah masih tidak dapat dikuatkuasakan walaupun pihak polis telah dipanggil untuk membantu.

Menurut peguam syarie, Fahmi Ramli, kes jagaan anak merupakan antara kes yang paling rumit di Mahkamah Syariah, terutama apabila kedua-dua pihak yang bercerai tidak mahu memberi kerjasama.

“Sebenarnya, kes jagaan anak tidak perlu pun dibawa ke mahkamah jika kedua-dua pihak boleh bertoleransi dalam soal hak penjagaan bersama,” katanya menerusi catatan di Kumpulan Telegram, Nota Syarie by Fahmi Ramli.

Beliau menjelaskan bahawa walaupun mahkamah telah mengeluarkan perintah, ia tidak akan dapat diselesaikan jika ada pihak yang enggan menghormatinya.

Fahmi turut berkongsi pengalamannya dalam mengendalikan kes di mana perintah mahkamah secara jelas mengarahkan polis untuk mengambil anak daripada defendan, tetapi hanya mengiringi pihak terlibat tanpa mengambil tindakan lebih tegas.

“Pelik. Sungguh pelik. Kita terpaksa buat laporan polis dan membawa kes ke peringkat atasan, tetapi tetap tiada tindakan. Bila diviralkan, barulah ada tindakan segera,” luahnya.

Beliau juga menegaskan bahawa perintah hadanah yang melibatkan polis sering kali ditafsir secara umum, menyebabkan kekeliruan dalam pelaksanaannya.

Namun, katanya, jika perintah sudah jelas menyatakan tindakan perlu diambil termasuk penangkapan pihak yang melanggar perintah, pihak berkuasa sepatutnya tidak ragu-ragu untuk bertindak.

Sebagai penyelesaian, Fahmi menyarankan agar pihak yang terkesan segera memfailkan Pelanggaran Perintah terhadap individu yang ingkar.

Katanya, ini bukan sahaja memastikan perintah mahkamah dihormati, tetapi juga memberi pengajaran kepada pihak yang sengaja melanggar keputusan mahkamah.

Kes seperti ini membuktikan bahawa isu hak jagaan anak bukan sekadar soal perintah mahkamah, tetapi juga memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk penguatkuasaan oleh pihak berkuasa agar keadilan dapat ditegakkan. – KOSMO! ONLIN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI