fbpx

Isu peningkatan kos perubatan akan dimuktamad dalam masa terdekat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dzulkefly beramah mesra pada program Kick Off Keselamatan Makanan Bazar Ramadan Peringkat Kebangsaan 2025 di Tapak Bazar Ramadan Presint 3, hari ini. - Foto oleh FAIZ ALIF ZUBIR / KOSMO!

PUTRAJAYA – Isu peningkatan kos perubatan terutama membabitkan bayaran premium insurans akan dimuktamadkan dalam masa terdekat.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, pihaknya sedang menangani isu berkenaan secara agresif bersama kementerian berkaitan.

Beliau berkata, KKM bersama Bank Negara dan Kementerian Kewangan turut meneliti hal-hal sama.

“Beberapa pendekatan lain juga telah diambil dan saya tetapkan dalam waktu terdekat kita dapat tangani isu ini,” katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan Kempen Kebersihan dan Keselamatan Makanan Bazar Ramadan 2025 di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, tiada keperluan ketika ini untuk mewujudkan unit kesihatan di setiap bazar Ramadan susulan insiden kematian mengejut seorang warga emas di sebuah bazar Ramadan semalam.

Katanya, pihaknya belum bercadang berbuat demikian, sebaliknya pasukan kesihatan terdekat sentiasa bersiap sedia untuk menangani setiap kes kecemasan.

Bagaimanapun, katanya, beliau menyarankan kepada setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya meletakkan nombor-nombor dan talian kecemasan di setiap bazar Ramadan bagi memudahkan pengunjung.

“Jika ada berlaku apa-apa kes kecemasan termasuk pengunjung pengsan dan sebagainya, orang awam boleh terus berhubung menerusi talian kecemasan itu. Selain itu, unit kecemasan hospital di seluruh negara bersedia sepanjang masa bagi menangani setiap kes kecemasan membabitkan orang awam,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI