KUALA LUMPUR – Seramai 70,229 jururawat terdiri daripada 69,114 anggota lantikan tetap dan 821 lantikan kontrak interim sedang berkhidmat di fasiliti kesihatan Kementerian Kesihatan (KKM) di seluruh negara ketika ini.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, jururawat yang sedang berkhidmat itu meliputi hospital, klinik kesihatan, institusi perubatan, institut latihan KKM dan Ibu Pejabat Kesihatan KKM.
Bagaimanapun, jelas beliau, KKM masih memerlukan kira-kira 43,243 jururawat lagi supaya penyampaian perkhidmatan kesihatan berjalan dengan lebih lancar.
“Secara keseluruhannya pengisian jururawat di KKM telah mencapai 88 peratus berbanding 79,814 perjawatan jururawat di KKM. Berdasarkan unjuran, kita memerlukan lebih kurang 43,243 jururawat.
“Masih tidak cukup sebab berdepan cabaran pembukaan hospital-hospital baharu,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) berhubung jumlah jururawat yang diperlukan di semua fasiliti kesihatan lama dan baharu.
Lukanisman berkata, antara inisiatif dalam meningkatkan jumlah jururawat adalah menambah pengambilan pengambilan pelatih Diploma Kejururawatan di Institut Latihan KKM daripada1,000 kepada 2,000 pelatih.
Menurut beliau, penawaran kepada Jururawat Masyarakat ke Program Peningkatan Secara Lantikan (PSL) juga ditingkatkan daripada 800 kepada 1,000 orang setahun.
Kata beliau, moratorium bagi program Diploma Kejururawatan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi telah ditamatkan pada 1 Ogos 2024 dan setakat ini tujuh kolej memohon untuk melaksanakan program baharu Diploma Kejururawatan.
Tambahnya, syarat kemasukan ke program Diploma Kejururawatan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dilonggarkan kepada hanya tiga kredit iaitu Bahasa Melayu, Matematik atau Matematik Tambahan.
“Kredit salah satu mata pelajaran Sains (Biologi, Kimia, Fizik, Sains Gunaan), Bahasa Inggeris dan mendapat kepujian mana-mana satu pelajaran lain untuk mengikuti program ini.
“Keputusan ini bagi menyasarkan peningakatan lepasan pelajar SPM ke bidang kejururawatan dan hanya akan dilaksanakan bagi pengambilan 2025 dan 2026,” katanya.
Kata beliau, inisiatif lain adalah membuka peluang kepada lepasan Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM), “O” Level, “A”Level dan International General Certificate of Secondary Education (IGCSE) mengikuti program Diploma Kejururawatan. – KOSMO! ONLINE