KUANTAN – Kira-kira 76 hektar kawasan ladang sawit di sekitar Jalan Pintasan Kuantan-Sg Ular berhampiran Gebeng di sini musnah dalam kejadian kebakaran hutan sejak sembilan hari lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Mohd Razam Taja Ibrahim berkata sehingga kini kira-kira 67 hektar kawasan yang terbakar telah berjaya dipadamkan.
“Baki kira-kira 8.9 hektar masih terbakar dan api mula merebak semula semalam akibat tiupan angin kuat dengan pemadaman masih dalam operasi dengan bantuan pelbagai agensi.
“Kekuatan anggota bomba yang terlibat dalam pemadaman ialah seramai 73 orang iaitu 16 daripada Balai Bomba dan Penyelamat Gebeng dan selebihnya bantuan daripada balai luar,”katanya
Menurutnya operasi pemadaman dipecahkan kepada tujuh sektor bagi mengelakkan api merebak ke kawasan lain dengan setiap sektor mempunyai 10 anggota bomba.
Katanya operasi pemadaman turut menggunakan ‘water bombing’ melibatkan satu unit pesawat dengan kekuatan 11 orang kru.
“Selain itu bantuan pam dari Jabatan Pengairan dan Saliran bagi tujuan ‘total flooding’ di kawasan yang terbakar dan bantuan satu unit jengkaut dari Jabatan Kerja Raya bagi tujuan ‘fire break’ dan akses laluan pemadaman,”ujarnya. – KOSMO! ONLINE