SETIAP rumah memiliki dapur yang menjadi nadi kepada sebuah kediaman dan tempat paling sibuk apabila tiba waktu untuk penyediaan makanan.
Dapur juga menjadi ruang penyimpanan untuk makanan dan minuman serta ruang makan buat mereka yang mempunyai rumah yang bersaiz lebih kecil.
Menurut pereka dalaman dari Triani Studio, Tries Chalil, dalam penataan dapur, ciri praktikal merupakan elemen penting yang perlu diambil perhatian oleh setiap pemilik rumah.
“Setiap orang mahukan dapur yang estetik mahupun mempunyai tema mengikut kesukaan, namun dalam mencapai hasrat itu ramai yang terlepas pandang tentang aspek praktikal ketika berada di dapur.
“Praktikal dalam konteks dapur adalah susun atur yang memudahkan pergerakan, tugas di dapur serta penggunaan bahan yang tahan lama dan lasak untuk menahan beban, haba dan sebagainya,” katanya ketika ditemui CitaRasa di Seri Rampai, Wangsa Maju, Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Tambahnya, tidak kira apa juga saiz dapur, elemen praktikal dapat dicapai apabila tiga aspek ini diatur pada kedudukan mudah akses iaitu storan, pembersihan dan penyediaan serta ruang memasak.
Bahagian penyediaan dan pembersihan biasanya melibatkan ruangan singki, counter top di dapur basah dan bagi dapur lebih besar adalah island di dapur kering.
Pemilihan counter top yang betul adalah perlu bergantung kepada sejauh mana kerja-kerja memasak akan dilakukan di dapur berkenaan.
Bagi rumah baharu terutama untuk tema moden atau klasik, penggunaan kayu atau batu quartz menjadi pilihan dalam rekaan dalaman.

Penggunaan bahan kayu lebih sesuai untuk kawasan island kerana kurang kontak dengan air, manakala sifat natural kayu akan mereput jika terdedah kepada air secara berterusan.
Sementara itu, batu quartz atau concrete top lebih sesuai untuk cara penggunaan dapur rakyat di Malaysia disebabkan gaya memasak lebih berat (heavy cooking).
Untuk singki pula, bahan stainless steel biasanya menjadi pilihan kerana ia lebih praktikal dan tahan lasak, namun untuk gaya estetik sinki seramik merupakan alternatif tetapi memerlukan penjagaan rapi.
Kongsi Tries lagi, untuk ruangan penyimpanan atau storan, aspek praktikal boleh dicapai dengan mempunyai ruang simpanan yang mencukupi tidak kira untuk kabinet atau peti ais.
“Peti ais biasanya akan bergantung kepada model dan saiznya bergantung kepada keperluan pemilik rumah atau estetik konsep, manakala kabinet pula perlu mempunyai sekurang-kurangnya ruangan asas untuk menyimpan bahan dan barang masak, mencuci serta pinggan mangkuk.
“Penggunaan aksesori yang betul juga membantu ruangan storan seperti rak rempah, tray atau laci peralatan dan rak pinggan mangkuk, manakala rekaannya pula bergantung konsep sama ada mahu ada pemegang untuk tema kontemporari, rumah ladang atau sebaliknya bagi minimalis serta moden,” ujarnya.
Katanya lagi, buat ruangan memasak pula, kedudukannya perlu mudah akses antara ruangan simpanan dan pembersihan serta penyediaan.

Biasanya ruangan masak ini bergantung kepada jenis memasak sama ada berat atau ringan yang menentukan seberapa besar ruang yang diperlukan.
Bagi keluarga besar, biasanya mereka akan memakai dapur dengan dua hingga empat tungku, manakala orang bujang akan menggunakan dapur induksi atau satu tungku.
Pemasangan hood juga diperlukan untuk dapur memberikan pengudaraan yang baik ketika memasak supaya dapur tidak terperap dengan bau masakan.
Kongsinya lagi, selain elemen tiga penjuru tadi, terdapat beberapa elemen yang perlu diambil perhatian bagi melengkapkan lagi konsep praktikal dapur.
Antaranya adalah pencahayaan, cara susun atur, pusat suis dan plug serta penyimpanannya bagi mewujudkan dapur yang lebih kemas.
“Sebagai contoh, idea mempunyai peralatan penapis air binaan dalam dan ruang simpanan sampah tertutup boleh membuatkan dapur lebih luas dan tidak terlampau penuh.
“Pencahayaan perlu sesuai untuk jenis dapur terutama dapur basah lampu cool white lebih sesuai, manakala dapur kering warm white,” jelasnya.
Tambah wanita itu, plug point dengan watt perlu sesuai untuk penggunaan barangan elektrik supaya dapat mengelakkan daripada kebakaran di kemudian hari kerana terlalu banyak looping.
Dalam pada itu, bagi tema, pada amnya semua jenis konsep sesuai untuk diterapkan pada dapur, namun terdapat beberapa konsep yang lebih disarankan kepada pemilik rumah
Antaranya adalah rustic, rumah ladang, kontemperari moden atau industri.















