fbpx

Yakin Medic rancang IPO di SGX

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
King Sing (dua dari kanan), Patrick (dua dari kiri), Ketua Pegawai Eksekutif Evolve Capital Advisory, Jerry Chua (kiri), dan Pengerusi MCI Capital, Cannis Chan pada Majlis Menandatangani Perjanjian Penglibatan Pra-IPO Yakin Medic di Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Penyedia terapi sel stem hidup aktif terkemuka di Malaysia, Yakin Medic Sdn. Bhd. berhasrat untuk berkembang ke pasaran baharu, antaranya menerusi perancangan untuk mengemukakan tawaran awam permulaan (IPO) di Papan Catalist Bursa Singapura (SGX), pada suku keempat 2025 atau awal 2026.

IPO tersebut dijangka mampu mengumpul kira-kira RM100 juta, dengan RM70 juta daripadanya diperuntukkan untuk mengubah suai dan membangunkan kilang sedia ada di Cyberjaya.

Sementara baki dana akan digunakan untuk menyokong perkembangannya ke pasaran luar negara, meningkatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D), serta mewujudkan makmal satelit.

Pengasasnya, Patrick Tan berkata, hasil daripada IPO akan membiayai perkembangan Yakin Medic ke dalam terapi sel stem hidup, di samping inisiatif penjagaan kesihatan yang lain.

Ujarnya, rancangan pelaburan itu menandakan peristiwa penting dalam perjalanan pertumbuhan syarikat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya bagi memajukan rawatan sel stem generasi akan datang secara global.

“Misi kami adalah untuk memperkasakan individu untuk mengurus kesihatan mereka melalui perkhidmatan perubatan yang mudah diakses dan lancar, setiap hari.

“Kami berhasrat untuk menghasilkan sel stem untuk 5,000 pesakit setiap tahun menjelang 2027. Ini adalah bidang yang sangat lumayan bagi mereka yang dilengkapi dengan teknologi yang betul,” katanya pada majlis menandatangani Perjanjian Penglibatan Pra-IPO Yakin Medic di Bursa Singapura di sini, hari ini.

Majlis berkenaan turut dihadiri oleh Menteri Pelancongan, Seni & Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing dan Setiausaha Pertama Suruhanjaya Tinggi Singapura di Kementerian Luar Negeri, Singapura, Bhargav Sriganesh.

Menurut Patrick, pembangunan dan pentauliahan kemudahan pengeluaran baharu di Cyberjaya akan mengambil masa kira-kira satu setengah tahun.

“Saya percaya bahawa Yakin Medic adalah milik rakyat pada akhirnya. Sel stem mempunyai potensi untuk meningkatkan kualiti hidup, dan kami komited untuk menjadikan rawatan ini boleh diakses oleh semua,” katanya.

Yakin Medic ditubuhkan pada 2014 dan memiliki reputasi sebagai penyedia terapi sel stem canggih yang dipercayai di seluruh pasaran utama Asia.

Selain itu, syarikat turut memainkan peranan penting dalam menyokong Malaysia menjadi pusat pelancongan perubatan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI