PETALING JAYA – Persatuan Pakar Keselamatan Jalan Raya (PPKJR) menyarankan syarikat konsesi lebuh raya supaya mendirikan penghadang khas di laluan bertingkat atau yang berketinggian lima meter ke atas di lokasi berbahaya.
Pengasas dan Penasihat Keselamatan Jalan Raya dan Permotoran PPKJR, Jamil Manan Supri berkata, penghadang itu boleh bertindak sebagai perlindungan tambahan bagi menghalang kenderaan atau mangsa tercampak ke bawah selepas terbabit kemalangan.
“Penyelia jejambat mahupun lebuh raya perlu segera mengenal pasti lokasi atau selekoh berbahaya. Pemasangan parapet wall bridge mengikut spesikasi pembinaan yang bersesuaian amat disyorkan.
“Ia dapat meningkatkan keselamatan pengguna jalan raya di selekoh atau lokasi yang mempunyai jarak penglihatan terhad,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.
Beliau berkata, beberapa jenis penghadang digunakan di lebuh raya di seluruh negara iaitu kabel, semi-rigid (rel adang) dan rigid (penghadang konkrit),” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal perlu mematuhi had laju yang ditetapkan dan lebih berhati-hati ketika melalui lokasi yang berisiko.
“Ada dakwaan sesetengah pihak mengatakan penghadang jalan sedia ada di lebuh raya misalnya menyebabkan punca peningkatan kes kemalangan maut.
“Namun ia mampu dielakkan sekiranya pengguna mematuhi garis panduan, peka dengan keadaan jalan dan memandu dengan kelajuan yang ditetapkan,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan seorang penunggang motosikal wanita maut dalam keadaan mengerikan selepas tercampak dari jejambat di Kilometer 0.7, Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (DASH) pada ketinggian 35 meter (m) selepas terbabit dalam kemalangan.
Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang itu, mangsa yang berusia 30 tahun menunggang motosikal jenis Honda Vario seorang diri menghala ke Shah Alam.
Siasatan awal polis mendapati motosikal mangsa bergesel dengan kereta sebelum penunggangnya tercampak dan terjatuh ke dalam sungai.
Pada Jun 2024, seorang penunggang motosikal Ducati Panigale maut selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE).
Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan cuba mengelak sebuah motosikal lain yang ditunggang secara melawan arus. – KOSMO! ONLINE
















