fbpx
ANGGOTA bomba melakukan operasi di lokasi seorang penunggang motosikal wanita terjatuh dari jejambat Dash di Petaling Jaya kelmarin.

‘Terjun sungai, tutup mayat wanita jatuh lebuh raya’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang lelaki tekad terjun ke dalam sungai dan segera menutup badan seorang wanita menggunakan baju hujan selepas mangsa tercampak dari ketinggian 35 meter setelah terbabit kemalangan di Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) di sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 6.50 petang itu, mangsa yang berusia 30 tahun dan menunggang motosikal jenis Honda Vario disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Lelaki berkenaan yang juga saksi kejadian, Amran Amatsudin, 37, berkata, motosikal yang ditunggang mangsa terbabas ketika melalui selekoh di Kilometer 0.7 dan melanggar penghadang jalan sebelum wanita itu terjatuh ke dalam sungai.

“Saya dan isteri bergegas ke lokasi mangsa terjatuh yang mengambil masa kira-kira 18 minit. Saya terjun ke dalam sungai untuk menutup badannya dengan menggunakan baju hujan.

“Saya yakin mangsa sudah ‘tiada’ ketika kami sampai di sungai itu,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Menurut Amran, kejadian berlaku ketika dia dan isteri menunggang motosikal dan berada di belakang mangsa.

“Mangsa menunggang motosikal Honda Vario di hadapan saya. Ketika melalui selekoh kenderaannya terbabas dan langgar penghadang jalan sebelum tercampak ke bawah.

“Suaminya menaiki motosikal berasingan, suaminya berada di hadapan, manakala isterinya (mangsa) di belakang. Mereka berkonvoi untuk pergi makan malam selepas pulang dari tempat kerja,” katanya kepada Kosmo!di sini semalam.

Menurut Amran, suami mangsa hanya menyedari isterinya terbabit dalam kemalangan selepas wanita itu tidak muncul-muncul di lokasi yang dijanjikan sebelum menghubungi telefon bimbit pasangannya.

“Suami dia (mangsa) tunggu di simpang hadapan. Dia hubungi isterinya dan kebetulan gajet tersebut ada berdekatan motosikal mangsa, jadi isteri saya jawab dan maklumkan tentang kejadian yang berlaku.

“Suaminya kemudian bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar memberitahu, siasatan awal mendapati motosikal mangsa bergesel dengan kereta sebelum penunggangnya terjatuh pada ketinggian 30 hingga 35m dari lebuh raya berkenaan.

“Akibat kemalangan itu, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan semalam.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN