MELAKA – Motif pembunuhan wanita berstatus isteri orang yang dibunuh kekasih gelapnya di sebuah rumah teres di Jalan Seri Mangga, Pokok Mangga di sini kelmarin disahkan berpunca daripada perasaan cemburu oleh suspek.
Dalam kejadian itu, mangsa yang merupakan ibu tiga anak dan berusia 52 tahun ditemui terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah dipercayai akibat ditikam suspek.
Difahamkan, suspek berang dan bertindak sedemikian selepas mendapat tahu wanita itu yang bekerja sebagai penyanyi sambilan sering dihantar pulang ke rumah oleh beberapa individu lelaki lain.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil soal siasat terhadap suspek berusia 54 tahun itu mendapati mangsa telah dibunuh selepas berlaku pergaduhan antara mereka yang berpunca daripada rasa cemburu.
“Polis menerima panggilan berhubung kejadian bunuh pada pukul 12.31 tengah hari daripada rakan serumah mangsa yang memberitahu terlihat wanita terbabit terbaring di atas katil dalam keadaan berlumuran darah.
“Turut berada dalam bilik tersebut ialah suspek sendiri dalam keadaan berbaring kerana cedera.
“Saksi memberitahu sebelum kejadian, dia ada terdengar pasangan itu bergaduh pada Jumaat lalu dan soal siasat terhadap suspek mengakui kejadian (bunuh) itu tercetus akibat rasa cemburu,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mangsa dikatakan menyewa di rumah tersebut sejak enam bulan yang lalu, manakala suaminya menetap di Kuala Lumpur.
Christopher berkata, suspek telah ditahan di lokasi dan direman selama tujuh hari di hospital susulan sedang mendapatkan rawatan kecederaan dialami.
“Kita percaya dia (suspek) cedera disebabkan dia cuba membunuh dirinya selepas membunuh mangsa.
“Polis turut menemui dan merampas dua bilah pisau pemotong sayur yang dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” jelasnya.
Katanya, pihaknya masih lagi laporan penuh bedah siasat bagi mengetahui punca kematian mangsa dan setakat ini kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, Kosmo! semalam melaporkan, seorang wanita berstatus isteri orang mati dipercayai dibunuh kekasih gelapnya dalam kejadian di sebuah rumah teres di Taman Seri Mangga, Seksyen 1, Pokok Mangga di sini.
Kejadian menimpa mangsa berusia 52 tahun itu dikatakan terbongkar selepas rakan serumahnya mengetuk pintu bilik si mati yang didiami bersama teman lelakinya untuk menghantar makanan pada pukul 11 pagi.
Ibu tiga anak itu dijumpai tidak bernyawa dalam keadaan berlumuran darah di atas katil.
Menurut sumber, mangsa yang bekerja sebagai penyanyi sambilan enyewa bilik tersebut bersama teman lelaki nya yang juga suspek utama sejak enam bulan lalu.
“Si mati telah berkahwin dan mempunyai tiga anak, namun suaminya menetap di Kuala Lumpur, manakala anak-anaknya pula tinggal di Masjid Tanah.
“Dia menyewa di bilik itu bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya,” katanya.
Susulan itu, polis menahan teman lelaki si mati untuk membantu siasatan. Pemeriksaan mendapati lelaki itu cedera dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.














