fbpx
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membuat lawatan pada program Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

AI mengubah dunia pekerjaan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KEMAJUAN teknologi kecerdasan buatan (AI) telah membuka peluang baharu dalam pelbagai sektor di seluruh dunia dan dijangka lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia bakal terpengaruh oleh teknologi itu dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Perubahan ini memberikan pelbagai kebaikan tetapi juga menuntut persediaan yang rapi untuk menghadapinya.

Menurut Pensyarah Ekonomi, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara Cawangan Terengganu, Mohd. Khairi Ismail, AI membawa pelbagai manfaat besar kepada dunia pekerjaan di Malaysia, terutamanya dalam meningkatkan produktiviti.

“Peningkatan produktiviti ini boleh berlaku kerana AI mampu melaksanakan tugas-tugas rutin dengan lebih pantas dan tepat berbanding manusia, ini menjadikannya alat yang sangat efektif dalam sektor seperti perkilangan, perkhidmatan kewangan dan logistik.

“Automasi yang diterapkan oleh AI boleh mengurangkan masa yang diperlukan untuk melengkapkan sesuatu proses kerja sambil memastikan ketepatan dan konsistensi yang tinggi. Ia sekali gus membantu organisasi mengoptimumkan sumber dan kos,” katanya kepada K-Tekno baru-baru ini.

Tambahnya, dalam masa yang sama AI juga mencipta peluang pekerjaan baharu dalam bidang berkemahiran tinggi seperti pengurusan data, pembangunan perisian, analisis data dan keselamatan siber.

Kongsinya, pekerja-pekerja berpeluang meningkatkan kemahiran mereka bagi menceburi sektor ini untuk menjadikan tenaga kerja negara lebih kompetitif di peringkat global.
Selain itu, AI turut membantu mempercepatkan proses dalam sektor perkhidmatan awam seperti pengurusan data, permohonan lesen dan perkhidmatan kesihatan.

Pada masa sama, penggunaan AI membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan yang lebih pantas, efisien dan responsif.

“Keupayaan AI menganalisis data besar secara pantas juga membolehkan perniagaan dan organisasi membuat keputusan yang lebih tepat dan strategik yang seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

“Dalam sektor Pendidikan pula, AI dapat mempersonalisasikan pembelajaran untuk memenuhi keperluan pelajar dan meningkatkan keberkesanan pendidikan.

“AI juga dapat dimanfaatkan dalam bidang perubatan seperti mempermudah diagnosis penyakit dengan lebih cepat dan tepat serta membantu doktor memberi rawatan yang lebih baik,” ujarnya.

Katanya lagi, secara tidak langsung penerapan AI juga tidak hanya meningkatkan produktiviti tetapi turut memperbaiki kualiti hidup rakyat Malaysia.

Walau bagamanapun, bagi menghadapi impak AI, ia memerlukan pelaburan yang signifikan dalam pendidikan dan latihan bagi memastikan tenaga kerja di sesebuah negara terus relevan dengan keperluan masa hadapan.

“Kerajaan, institusi pendidikan dan sektor swasta seharusnya bekerjasama menyediakan program latihan yang menyasarkan bidang berkemahiran tinggi seperti sains data, pengaturcaraan dan kejuruteraan yang melibatkan penggunaan AI.

“Pendidikan teknologi harus dimulakan sejak awal usia dan diteruskan ke peringkat dewasa melalui latihan berterusan untuk memastikan literasi digital diperkasakan di semua peringkat.

“Ini merangkumi kemahiran asas seperti penggunaan perisian komputer hingga kemahiran lanjutan seperti pengaturcaraan,” tuturnya.

Sementara itu, kerajaan juga perlu menggubal undang-undang dan polisi bercirikan adaptif untuk melindungi pekerja yang mungkin kehilangan pekerjaan akibat automasi.

Pendapatan asas universal boleh dipertimbangkan sebagai langkah perlindungan bagi golongan rentan untuk memastikan keseimbangan sosial dalam menghadapi perubahan teknologi pada masa kini.

Selain itu, pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) AI perlu ditingkatkan untuk memastikan sesebuah negara terus kompetitif dalam persaingan teknologi global.

Katanya lagi, usaha ini tidak hanya membantu menghasilkan teknologi yang sesuai dengan konteks tempatan tetapi juga membina keupayaan negara dalam inovasi.

Masyarakat juga perlu dididik mengenai perubahan yang bakal berlaku melalui kempen kesedaran yang memperkenalkan kebaikan AI.

“Dari aspek kerjasama antarabangsa, Malaysia perlu membina jaringan dengan negara lain untuk berkongsi pengetahuan, teknologi dan amalan terbaik dalam penerapan AI.

“Kolaborasi ini akan mempercepatkan pemindahan teknologi dan kepakaran ke dalam negara, sekali gus memperkukuhkan asas ekonomi digital untuk masa hadapan,” katanya.

Oleh itu, tidak dapat dinafikan AI menawarkan pelbagai peluang besar untuk meningkatkan taraf hidup dan produktiviti melalui automasi tugas rutin, pengoptimuman perkhidmatan dan analisis data yang lebih efisien.

Namun, untuk memastikan manfaat ini dapat dinikmati secara menyeluruh, persediaan rapi diperlukan dalam beberapa aspek penting.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN