MELAKA – Teman serumah kepada penyanyi sambilan wanita yang dibunuh di rumah sewanya di Taman Seri Mangga, Seksyen 1, Pokok Mangga di sini kelmarin memaklumkan dia mendengar mangsa bergaduh dengan teman lelakinya pada malam Jumaat lalu.
Mangsa yang berstatus isteri orang berusia 52 tahun dijumpai dalam keadaan berlumuran darah pada pukul 11 pagi.
Ibu tiga anak itu tinggal menyewa bilik di rumah tersebut bersama seorang lelaki dipercayai kekasihnya sejak enam bulan lalu.
Rakan serumah mangsa yang enggan dikenali berkata, kali terakhir dia terdengar pergaduhan antara si mati dan teman lelakinya pada Jumaat lalu.
“Saya dengar bunyi kecoh mereka bergaduh sebelum dia (si mati) sesak nafas seakan-akan kena cekik. Kalau saya tolong pada malam itu mungkin saya pun akan mati.
“Sejak malam itu, saya sudah tidak nampak mangsa dan kekasihnya keluar dari bilik sehingga hari ini (semalam),” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian semalam.
Menurut wanita itu, disebabkan rasa curiga dan bimbang dengan keadaan rakan serumahnya, dia mengetuk bilik mangsa untuk menghantar makanan pada pukul 11 pagi semalam.
“Pintu bilik hanya dibuka sedikit oleh lelaki terbabit (kekasih), tetapi saya dapat lihat mangsa dalam keadaan terbaring atas katil dengan berlumuran darah.
“Saya kemudian menelefon rakan baik mangsa memaklumkan tentang apa yang saya lihat sebelum dia beritahu kejadian itu kepada polis,” ujarnya.
Susulan kejadian itu, polis memberkas teman lelaki mangsa. Lelaki itu turut cedera dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan.
Semakan mendapati si mati telah berkahwin dan mempunyai tiga anak, namun suaminya menetap di Kuala Lumpur.
Anak-anak wanita itu pula tinggal di Masjid Tanah.
Polis yang melakukan siasatan di lokasi kejadian menemui dua bilah pisau dipercayai digunakan dalam kejadian itu.














