fbpx
Gula-gula gummy melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya.

Gummy ball ‘jahat’, sekat kerongkong, banyak gula

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Gula-gula gummy yang kenyal serta sukar dicairkan boleh menyebabkan ia tersangkut di kerongkong sete­rusnya menyebabkan pernafasan tersumbat.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Sharifa Ezat Wan Puteh berkata, risiko lebih tinggi dihadapi kanak-kanak dan bayi memandangkan kerongkong mereka kecil.

“Gula-gula atau candy ini bahaya terutama kepada kanak-kanak kecil, contohnya bayi atau budak berusia satu tahun kerana kerongkong mereka agak kecil sesuai dengan umur. “Apabila diberikan gummy, gula-gula atau makanan biasa yang sedikit besar, agak keras atau kenyal, susah dicairkan. Ia boleh tersangkut dalam kerongkong dan menyebabkan pernafasan tersumbat dan sebagainya,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Beliau berkata, selain risiko tercekik, gula-gula itu juga sudah maklum mempunyai kandungan tambahan yang tidak digalakkan kepada kanak-kanak.

“Gula boleh menyebabkan seseorang menjadi lebih bertenaga, malah ada kajian berkaitan hiper­aktif, sukar tidur dan untuk kanak-kanak besar pula, boleh menyebabkan gemuk, obesiti dan berlebihan berat badan serta gigi rosak, selain kesan kepada kencing manis sebagainya,” katanya.

Dalam pada itu, Public Health Malaysia (PHM) menerusi perkongsian berkata, tekstur gula-gula gummy eyeball yang licin dan kenyal menyebabkan ia mudah tergelincir terus ke dalam tekak sebelum sempat dikunyah, sekali gus sangat berbahaya.

Katanya, ia boleh menjadi pe­rangkap maut kerana menyendal saluran pernafasan kanak-kanak.

“Selain itu bentuknya bulat dan besar, jika tidak dikunyah sempurna, ia boleh tersangkut di saluran pernafasan.

“Ia juga sukar dikeluarkan jika tersedak, berbeza dengan makanan keras yang boleh dihentak keluar, gula-gula ini melekit dan boleh menyumbat saluran udara sepenuhnya,” menurut PHM pada hantaran Facebook.

Gummy eyeball juga lebih tinggi risiko kepada kanak-kanak kecil memandangkan mereka belum pandai mengunyah dengan betul serta lebih mudah panik jika tercekik.

“Kanak-kanak bukan tahu bahaya, mereka hanya tahu makanan itu manis dan seronok dimakan. Jika nampak dijual di sekolah atau kedai laporkan dan suarakan kebimbangan anda,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN