fbpx
DIANA sebelum ini pernah beraksi dalam saingan ROW di Houston yang merupakan akademi milik legenda WWE, Booker T. - FB NOR ‘PHOENIX’ DIANA

Nor ‘Phoenix’ Diana selangkah ke WWE

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bintang gusti profesional negara, Nor ‘Phoenix’ Diana semakin hampir merealisasikan impian terbesar dalam kariernya beraksi di pentas World Wrestling Entertainment (WWE).

Atlet dengan nama penuh Nor Diana Khamaruzaman menganggap musim 2025 bakal menjadi tahun penentu apabila menyasarkan untuk beraksi di Jepun dan Amerika Syarikat (AS) sebagai batu loncatan untuk menggapai cita-citanya.

Ahli gusti berhijab pertama di dunia itu yang kini berusia 24 tahun, pernah beraksi di Reality of Wrestling (ROW) di Houston, Texas, AS iaitu akademi milik legenda WWE, Booker T yang juga sebahagian daripada program pembangunan rasmi WWE.

DIANA (kiri) akan turun beraksi dalam saingan APAC Wrestling: Rage in the Cage di The Cage, LaLaport Bukit Bintang City Centre pada Ahad ini. – FB NOR ‘PHOENIX’ DIANA

“Matlamat utama saya adalah kembali ke Jepun dan AS tahun ini. Kedua-dua tempat ini adalah pentas terbaik untuk saya mengasah kemahiran serta memperkenalkan nama di mata dunia.

“ROW adalah platform yang sangat besar kerana ia berada di bawah program pembangunan WWE. Saya mahu manfaatkan peluang ini sebaik mungkin kerana hanya satu langkah untuk ke WWE,” katanya eksklusif kepada Kosmo!.

Meskipun impian ke WWE semakin hampir, Diana mengakui cabaran terbesar dihadapinya kini adalah kekangan kewangan untuk membiayai kos perjalanan, latihan dan kelengkapan sepanjang berada di luar negara.

DIANA berharap dapat kembali menyertai kejohanan di Jepun dan AS yang menjadi platform terbaik buat dirinya untuk beraksi di pentas WWE. – FB NOR ‘PHOENIX’ DIANA

“Setakat ini, semua kos saya tanggung sendiri kecuali latihan ditaja jurulatih yang percaya pada potensi saya. Namun, untuk keperluan lain seperti yuran gim, pemakanan, suplemen, kelengkapan gusti dan kostum, semuanya saya biayai sendiri.

“Jumlahnya memang besar tetapi saya sanggup kerana minat dan keyakinan pada diri sendiri,” ujarnya.

Sebagai satu-satunya ahli gusti wanita berhijab, Diana bukan sekadar mengharumkan nama Malaysia, malah menjadi inspirasi buat wanita di seluruh dunia untuk menceburi sukan ekstrem itu tanpa mengorbankan identiti diri.

Bagi peminat tempatan, peluang menyaksikan Diana secara langsung hadir dalam acara APAC Wrestling: Rage in the Cage di The Cage, LaLaport Bukit Bintang City Centre pada Ahad ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN