ALOR SETAR – Sarung gigi, bingkai cermin mata dan cincin buah kana. Itu antara emas lama dan pusaka yang unik rekaan popular pada tahun 1950 hingga 70-an yang dijual semula di kedai-kedai emas di negeri ini.
Eksekutif Kanan Pemasaran Digital Emas Faiz, Muhammad Harith Saad berkata, kebanyakan sarung gigi emas yang dijual semula adalah emas paun terdiri daripada 80 peratus emas.
“Kebanyakan waris datang jual sarung gigi emas milik ahli keluarga yang meninggal dunia. Ada juga pelanggan yang menjual bingkai cermin mata emas 375 atau emas suasa.
“Ada yang menjual cincin besar seberat enam hingga lapan gram, kebanyakannya lelaki. Emas 375 masih ada kandungan emas. Fatwa ulama emas haram dipakai oleh golongan lelaki, jadi ramai yang menjualnya,” katanya.
Menurutnya, ramai juga pelanggan terutama warga emas yang datang ke kedai baru menyedari emas suasa mempunyai nilai walaupun kandungan emasnya tidak banyak.
Ada yang menyesal kerana membuang emas itu sebelum ini.
Katanya, perhiasan lama yang turut dijual adalah cincin buah kana yang terkenal tahun 1950-an hingga 1970-an.
Cincin itu boleh dilihat dalam filem seniman agung Tan Sri P. Ramlee. Di Eropah terutama Perancis, cincin itu dikenali sebagai ‘marquise cut’ sejak abad ke-18.
“Jenis emas unik lain ialah Kim Thanh iaitu kepingan emas 99.9 peratus yang dibawa pelarian Vietnam ke Tanah Melayu dengan menaiki sampan. Mereka jahit emas itu di baju dan tukarkan dengan keperluan asas,” katanya.
Tambahnya, sanggul, kerongsang dan dokoh tradisional Melayu dengan emas 585 atau emas muda juga antara perhiasan yang diterima pihaknya.
Sementara itu, pemilik bersama Kedai Membeli Emas Zikir Syahadah di Kota Sarang Semut, Zaimahanim Sapki dan Muhammad Syafiq Kasim berkata, kebanyakan pelanggan yang mahu menjual barangan pusaka terpaksa berbuat demikian untuk kelangsungan hidup.














