KUALA NERANG – Harga emas yang terus meningkat dan kini berada pada paras tertinggi membuatkan ramai berpusu-pusu menjual semula perhiasan emas masing-masing untuk mendapatkan wang tunai segera.
Tinjauan di kedai-kedai dan pusat jualan emas di negeri ini mendapati, jumlah pelanggan yang mahu menjual emas terpakai dan pusaka serta surat pajak gadai emas meningkat kira-kira dua kali ganda.
Menurut Pengarah Urusan Tun Emas, Ku Mohd. Fikri Hanif Ku Puteh, harga emas di premisnya ketika ini (11 Februari) berada pada paras tertinggi iaitu RM400 segram bagi harga jualan, RM370 segram untuk trade in dan RM365 segram bagi belian balik.
“Harga emas ketika ini memang tinggi dan tidak pernah lagi setinggi ini.
“Apabila harga emas tinggi, memang ramai yang datang jual semula emas dan surat pajak,” katanya ketika ditemui di premisnya di sini baru-baru ini.
Katanya, pelanggan datang menjual semula emas terdesak mahu mendapatkan wang dengan segera bagi memenuhi keperluan masing-masing.
Sementara itu, Eksekutif Kanan Pemasaran Digital Emas Faiz, Muhammad Harith Saad berkata, harga jualan semula emas yang stabil dan cenderung untuk terus meningkat pada ketika ini mendorong orang ramai menjual semula emas terpakai yang mereka miliki.
“Golongan tersebut menjual semua emas terpakai atau pusaka untuk memenuhi keperluan pada waktu mendesak sebagai dana kecemasan, antaranya sebagai modal perniagaan serta beli rumah dan tanah.
“Jumlah pelanggan ketika ini meningkat dua kali ganda berbanding tempoh sama pada tahun lalu,” katanya.
Katanya, ada juga peniaga bazar Ramadan sudah mula mendapatkan modal dengan menjual semula emas.
“Bagi yang nak pergi haji, mereka datang ke kedai dan beritahu betapa gembiranya mereka dapat pergi haji dan terus datang ke kedai untuk jual semula emas. Kebanyakan mereka simpan emas sejak bekerja lagi,” ujarnya.














