KUANTAN – “Isteri saya sentiasa pakai gelang emas itu kerana amat menghargainya.”
Itu kata Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, mengenai gelang emas milik isterinya yang disamun seorang lelaki selepas membunuh mangsa di tepi Sungai Kuantan berhampiran
Jambatan Tanjung Lumpur di sini, sebelum mayatnya ditemukan pada Khamis lalu.
Menurut Muhammad Afiq Akmal, isterinya begitu menghargai hadiah gelang emas yang dibelinya pada tahun 2022 itu dan sering memakainya.
“Itu adalah hadiah ikhlas daripada saya buat isteri dan ketika itu saya beli dalam belas-belas ribu ringgit.
“Mungkin sekarang harganya sudah naik berdasarkan harga emas semasa.
“Saya mahu simpan gelang itu sebagai kenangan dan tak akan buat apa-apa (jual atau serahkan kepada sesiapa),” katanya semalam.
Menurutnya, setakat ini antara barangan berharga yang hilang ialah gelang tangan, cincin dan subang selain telefon bimbit dan juga dompet.
Ditanya mengenai keadaan anaknya yang berusia lima tahun, beliau berkata, anaknya masih seperti biasa bermain dengan sepupunya yang datang menziarahi keluarganya di Felda Keratong 9.
“Anak saya okey sahaja, buat masa ini dia belum cari (arwah) sebab ramai sepupu yang sebaya dengannya dan dia asyik bermain dengan mereka,” katanya.















