LEICESTER – Kemenangan 2-0 ke atas Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) sudah cukup buat Arsenal untuk terus menekan dan merapatkan kedudukan dengan pendahulu liga, Liverpool.
Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium King Power sebentar tadi, The Gunners yang turun tanpa kelibat penyerang dilihat bergelut untuk menembusi pintu gol pasukan tuan rumah.
Aksi separuh masa pertama menyaksikan The Foxes lebih banyak berkampung di laman sendiri bagi mengekang asakan bertali arus yang dilancarkan jentera serangan Arsenal diketuai Leandro Trossard.
Meskipun menggunakan taktik bertahan, namun Leicester sesekali cuba mengasak kubu pertahanan Arsenal menerusi serangan balasa pantas, namun turut buntu untuk membuka tirai jaringan.
Bersambung separuh masa kedua, Arsenal dan Leicester masing-masing memiliki peluang untuk meledak gol pertama perlawanan, namun dinafikan kecekapan penjaga gol selain percubaan tersasar.
Keputusan pengurus Arsenal, Mikel Arteta membawa masuk Mikel Merino sebagai penyerang ‘bidan terjun’ menggantikan Raheem Sterling membuahkan hasil apabila dia menjadi wira dengan meledak dua gol pada minit ke-81 dan 87.
Kemenangan tersebut meletakkan The Gunners semakin menghampiri dan hanya dibezakan empat mata dengan Liverpool, namun skuad kendalian Arne Slot itu beraksi kurang satu perlawanan. – KOSMO! ONLINE