KUANTAN – Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, iaitu suami kepada peniaga makanan, Norshamira Zainal, 37, yang dibunuh kejam sebelum mayatnya ditemui di tepi Sungai Kuantan mengakui suspek lelaki yang disyaki terlibat dalam kejadian itu pernah mengajaknya untuk mencandat sotong.
“Saya ingat lagi dia cakap ‘ini suami awak nak kenal sangat boleh belanja ikan bakar dan nak ajak mencandat sotong’ dan saya tidak sangka pula ia berakhir begini,” katanya ketika ditemui di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan semalam.
Katanya lagi, lelaki itu ditemui sebanyak dua kali sebelum ini ketika mengikut isterinya menghantar COD kepada suspek tersebut.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang wanita ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika menjalankan urus niaga hantaran (COD) di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur di sini semalam.
Mayat Norshamira Zainal, 37, ditemui pada pukul 12.45 tengah hari selepas 17 jam dilaporkan hilang ketika keluar rumahnya untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang menjadi suspek kes tersebut.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sebaik dimaklumkan mengenai penemuan mayat tersebut.
Katanya, pemeriksaan menemui kesan jenayah pada tubuh badan di mati.
“Saksi mengatakan mangsa datang ke kawasan kejadian untuk menjalankan urus niaga COD pada pukul 7.30 malam kelmarin (Khamis).
“Kita telah mengenal pasti suspek iaitu seorang lelaki berusia 37 tahun yang mempunyai beberapa rekod jenayah lampau. Mereka tiada hubungan, cuma mangsa ada membuat pertemuan dengan suspek yang memesan barangan jualan mangsa,” katanya.
Difahamkan, mangsa telah dipukul dengan objek keras pada kepalanya sebelum mayatnya diletakkan di tepi sungai tersebut.
Mayat Norshamira ditemukan oleh sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentuanya yang datang mencari sebelum menghubungi polis. Beberapa barangan kemas bernilai lebih RM25,000 yang dipakai mangsa juga hilang.
Kes disiasat Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu membunuh dan mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat.














