fbpx
Ketika ini, ibu bapa sibuk mempersiapkan kelengkapan anak-anak untuk kembali ke sekolah. GAMBAR HIASAN

Cabaran buka sekolah, sambut Ramadan, raya serentak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sesi persekolahan baharu bakal bermula minggu depan dan 13 hari selepas itu, umat Islam dijangka mula menjalani ibadah puasa di bulan Ramadan sebelum sambutan Aidilfitri sebulan kemudian.

Bagi keluarga daripada golongan berpendapatan rendah mahu pun sederhana, tekanan kewangan bagi menghadapi tiga perkara yang berlaku hampir serentak itu sudah tentu agak membebankan.

Perbelanjaan untuk anak-anak kembali ke sekolah akan menuntut satu jumlah yang agak besar meliputi persiapan pakaian seragam, kasut, buku latihan termasuk buku teks, alat tulis atau yuran. Mereka yang mempunyai jumlah anak melebihi tiga orang pasti akan merasa tekanan.

Itu belum dikira untuk ibu bapa yang menghantar anak-anak ke sekolah agama swasta atau mereka yang mempunyai anak kecil yang perlu dihantar ke pengasuh serta anak yang perlu mengikuti kelas di peringkat tadika atau prasekolah.

Kos pendaftaran dan yuran mereka untuk seorang anak boleh mencecah sehingga ribuan ringgit. Keadaan ini sedikit sebanyak boleh menambah tekanan kepada kewangan keluarga, lebih-lebih lagi ketika harga barang-barang keperluan persekolahan ketika ini yang semakin meningkat.

Situasi semakin mencabar apabila belum pun selesai menguruskan perbelanjaan kembali ke sekolah, mereka juga perlu membuat persiapan untuk menyambut Ramadan dan seterusnya sambutan Aidilfitri.

Untuk Ramadan, kosnya mungkin dapat dikawal kerana ia hanya melibatkan perbelanjaan menyediakan juadah berbuka dan bersahur selain sekali sekala untuk berbuka di luar, namun tidak bagi persiapan untuk menyambut Aidilfitri.

Bagi sesetengah keluarga, berbelanja untuk persiapan Aidilfitri telah bermula sebelum Ramadan lagi. Pakaian sudah ditempah atau dibeli lebih awal. Tempahan biskut, kuih raya semuanya telah disusun rapi sehinggalah ke hari berangkat pulang ke kampung halaman.

Apa pun keadaannya, perancangan kewangan yang betul untuk memenuhi keperluan ketiga-tiga perkara terbabit amatlah penting.

Bagi sesetengah orang, walaupun pendapatan mereka tidaklah seberapa, tetapi berkat perancangan yang rapi termasuk menabung dari awal serta pengurusan kewangan yang betul, mereka mampu mengharungi semua cabaran tersebut dengan baik.

Bagaimanapun, bagi yang gagal menguruskan kewangan dengan baik termasuk berbelanja mengikut hawa nafsu, kebanyakan mereka akan menghadapi tekanan kewangan walaupun mereka daripada kalangan ibu bapa yang mempunyai pendapatan yang agak stabil.

Paling penting, buatlah segala persiapan mengikut kemampuan dan kalau boleh, elakkanlah daripada berhutang untuk perkara-perkara yang tidak perlu. Berbelanjalah mengikut keutamaan, dahulukan kepada perkara yang lebih penting dan kemudian barulah diikuti perkara-perkara yang berikutnya.

Tidak ada gunanya berhabis ribuan ringgit semata-mata untuk sambut raya, sedangkan persiapan untuk anak ke sekolah dibuat sekadar lepas batuk di tangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN