fbpx
Antara individu yang dikehendaki SPRM termasuk dua bergelar Datuk. - IHSAN SPRM

Hilang tanpa jejak selepas lari ke luar negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sebahagian daripada 23 individu termasuk dua bergelar Datuk yang dikehendaki Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) gagal dikesan sehingga kini selepas bertindak melarikan diri ke luar negara dan tidak lagi kembali ke Malaysia.

Tindakan itu menyebabkan beberapa kes yang sedang disiasat dan dituduh di mahkamah berdepan dengan kekangan selain terpaksa ditangguhkan.

Katanya, daripada jumlah itu, 19 merupakan lelaki, manakala ba­kinya adalah wanita berusia 24 hingga 78 tahun.

“Selain menjawat jawatan tertinggi dalam syarikat seperti ketua pegawai eksekutif dan pengarah, orang dikehendaki itu turut bekerja sebagai peguam, jurutera, pengusaha kelab, penjawat awam, pemilik syarikat, bekerja sendiri selain ada yang tidak bekerja.

“Kesemua individu itu dikehendaki kerana mempunyai kaitan dengan kes rasuah seperti balasan meluluskan pembiayaan peribadi atau pinjaman, menyogok penguat kuasa, mengelak ditangkap, seleweng hasil jualan minyak dan pertuduhan di mahkamah,” kata kenyataan itu.

Selain itu, mereka turut ­terlibat dengan penipuan/pemalsuan dokumen, seludup tembakau, rokok/arak, tuntutan palsu, melantik syarikat pembekalan dengan harga melebihi pasaran, mengambil dan me­nyimpan biometrik pekerja a­sing, seleweng wang syarikat untuk pembelian saham dan ubah suai bangunan.

Jelasnya, 14 daripada mereka merupakan suspek, manakala bakinya adalah saksi bagi kes yang akan dibawa ke mahkamah selepas siasatan.

“Enam daripada 23 individu itu telah dapat dikesan, namun gagal diberkas kerana telah me­larikan diri.

“Antara faktor menyebabkan mereka ini tidak dapat dikesan termasuk melarikan diri ke luar negara, tiada kerjasama daripada negara luar, keluarga enggan memberi maklumat, tiada rekod kemasukan semula, lari menggunakan laluan tikus selain menukar alamat dan nombor telefon,” katanya.

Mereka ialah Datuk Lee Che Hing, 78, Datuk Justin Lim Hwa Tat, 49, Mansoor Saat, 71, Tan See Meng, 68, M. Karunaneedi, 61, Peter Ashley Jaya Suria, 60, P. Maniraja, 56, Chong Chew Hing, 56, Muhammad Adlan Berhan, 50, Roney Irwan Mohamad Nor, 50 dan Mona Ismail, 47.

Turut dikehendaki Shahrizan Sarbini, 43, Mohammad Zyed Ibrahim, 41, Lee Chee Hooi, 40, Mohamad Faizul Kamaruddin, 40, Brady Anak Nanda, 39, Wong Kar Foo, 38, Nooraini Ramli, 33, Ricky Bipin, 32, Mohd. Rizwan M Ismail, 31, dan Nourish Alieya Antasha Abdullah, 24.

Turut dicari ialah warga Bangladesh, Md. Asraful Islam, 38, dan Mohd. Hasan Sahferi Muhamad, 46.

Sehubungan itu, SPRM me­minta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai individu-individu tersebut supaya menghubungi pihaknya bagi membantu siasatan.

Dalam pada itu, SPRM turut mendedahkan pihak berkuasa tersebut menyita aset bernilai lebih RM508.1 juta sepanjang tiga tahun iaitu RM215 juta pada 2024, lebih 7.1 juta (2023) dan le­bih RM286 juta (2022).

“Jumlah harta dilucuthakkan pula ialah lebih 493 juta pada 2022, lebih RM8.1 bilion (2023) dan lebih 140 juta (2024),” kata­nya.

Wang yang dirampas daripada hasil aktivti haram pula berjumlah le­bih RM8.7 pada tahun 2022, lebih RM7.1 juta (2023) dan lebih RM4 juta (2024).

“Dari segi siasatan, kita telah membuka sebanyak 820 kertas siasatan pada tahun 2022, menahan 909 orang dan menuduh 390 individu,” katanya.

Ujarnya pada 2023, pihaknya membuka 1,026 kertas siasatan, tangkap (1,137) dan tuduh (446), manakala bagi tahun lalu, seba­nyak 1,163 (kertas siasatan), tangkap (1,334) dan tuduh (453).

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI