MELIHAT ke langit yang dihiasi kerlipan bintang dan sinaran bulan adalah suatu momen yang mendamaikan.
Di sebalik keindahan itu, sebenarnya terbentang luas angkasa dengan pelbagai planet dan asteroid yang menjadi sebahagian entiti dalam galaksi-galaksi tersendirinya termasuk Bima Sakti.
Planet-planet bergerak dalam orbit mengelilingi matahari dan secara tidak langsung mencipta satu kejadian yang digelar peristiwa astronomi atau astronomical events.
Sepanjang Februari ini, pelbagai peristiwa astronomi dilaporkan telah dan bakal berlaku serta dinyatakan dalam kalendar astronomi oleh agensi angkasa di dunia termasuk Agensi Angkasa Malaysia (MYSA).
Dalam portal MYSA, terdapat tujuh peristiwa astronomi yang disenaraikan bermula dari 2 Februari lalu hingga 28 Februari 2025.
Pada 2 Februari lalu, kalendar astronomi MYSA menyenaraikan berlakunya peristiwa ‘Bulan Pada Perigee’ yang merupakan kejadian di mana bulan berada pada kedudukan paling dekat dengan Bumi iaitu pada jarak 367,457km.
Semasa peristiwa ini, bulan tampak lebih besar dan lebih terang dibandingkan saat berada di apogee (titik terjauh dari Bumi) yang mana fenomena ini sering disebut Supermoon.
Seterusnya, peristiwa astronomi disusuli bulan sukuan pertama di mana bulan memasuki fasa Bulan Sukuan Pertama pada 5 Februari pukul 4.02 petang.
“Pada 10 Februari pula berlakunya konjungsi bulan dengan Marikh di mana Bulan dan Marikh akan kelihatan menghampiri antara satu sama lain di langit barat dengan jarak sudut bulan dan Marikh dari Bumi adalah sekitar 0.8 darjah.
“Kemudian pada 12 Februari peristiwa bulan penuh atau bulan purnama yang memasuki fasa tersebut pada pukul 9.53 malam,” lapor portal MYSA.
Tambahnya, peristiwa astronomi pada 18 Februari pula adalah ‘Bulan Pada Apogee’ di mana bulan berada pada kedudukan yang paling jauh dengan Bumi iaitu pada jarak 404,882km.
Bulan seterusnya akan berada pada fasa bulan sukuan akhir atau ketiga pada pukul 1.32 pagi, 21 Februari dan seterusnya pada 28 Februari memasuki fasa bulan baharu pada 8.44 pagi.
Selain peristiwa astronomi yang disenaraikan oleh MYSA, terdapat juga beberapa lagi kejadian yang dilaporkan berlaku pada bulan Februari.
Dalam laporan portal Orbital Today, terdapat empat planet dan satu hujan meteor akan kelihatan pada Februari.
“Misalnya, pada 1 Februari lalu, berlakunya kejadian bulan berada berdekatan Zuhal, Zuhrah dan Neptun di mana bulan sabit yang halus hanya bercahaya sekitar 12 peratus dan akan sejajar dengan tiga planet berkenaan.
“Kejadian ini boleh dilihat di langit barat daya, rendah di kaki langit Amerika Syarikat (AS) selepas matahari terbenam, sekitar 6 petang hingga 7 malam waktu tempatan,” ujarnya.
Lapornya lagi, dalam kejadian ini, Zuhrah mencuri tumpuan apabila digelar ‘bintang petang’, bersinar terang pada waktu senja. Zuhal pula akan mengikuti dari belakang, menambah cahaya keemasan lembutnya.Neptun akan muncul berdekatan, menunggu untuk ditemui dengan sepasang teropong atau teleskop kecil. Bulan akan bertindak sebagai panduan semula jadi, menandakan kedudukan trio planet tersebut.
Pada 8 dan 9 Februari pula berlakunya pancuran Meteor-Centaurid 2025 yang berlaku sekitar lewat malam hingga sebelum subuh di kawasan Hemisfera Selatan.
Menjadi satu-satunya kejadian hujan meteor bulan ini, ia merupakan acara yang sekejap tetapi menarik serta eksklusif untuk Hemisfera Selatan.
“Ia bakal berlarutan hingga 21 Februari tetapi memuncak pada malam 8 dan 9 Februari.
“Hujan kecil ini mungkin menghasilkan sehingga enam meteor sejam, tetapi bagi kebanyakan pemerhati bintang, ini adalah peluang pertama tahun ini untuk menangkap bintang jatuh,” lapornya.
Selain kejadian menakjubkan ini, terdapat juga beberapa kejadian yang disenaraikan seperti Zuhrah pada kecerahan terbesar pada 16 Februari yang berlaku pada pukul 7 hingga 8.30 malam waktu tempatan (AS) di langit barat selepas matahari terbenam.
Semasa kejadian ini, Zuhrah akan menyala di langit barat, mencapai titik paling terang dalam setahun pada magnitud yang menakjubkan iaitu -4.9 mengatasi segala-galanya kecuali Matahari dan Bulan.
Pada 25 Februari pula akan berlakunya gabungan Utarid dan Zuhal sejurus selepas matahari terbenam, sekitar 6.30 petang hingga 7 malam (waktu AS) di langit rendah arah barat.
Dalam peristiwa ini, Utarid dan Zuhal bertemu. Kedua-dua planet ini yang akan berada dalam jarak hanya kira-kira 1 darjah antara satu sama lain menawarkan peluang sekejap untuk melihatnya bersebelahan.
“Pada 28 Februari, langit malam akan menyediakan pentas untuk penjajaran kosmik yang menakjubkan iaitu perarakan planet yang menampilkan kesemua tujuh planet yang mana jajaran itu boleh dilihat.
“Peristiwa yang jarang berlaku ini, kali terakhir dilihat pada tahun 2022, menghimpunkan Zuhal, Utarid, Neptun, Zuhrah, Uranus, Musytari dan Marikh mencipta paparan cakerawala tersendiri,” tulisnya.















