fbpx
ARSENAL menghadirkan saingan kepada Liverpool dalam perebutan takhta liga Inggeris.

Perebutan takhta EPL dijangka sengit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERBAKI 14 perlawanan lagi sebelum menuju akhir musim 2024/2025, perebutan takhta Liga Perdana Inggeris (EPL) dilihat semakin sengit.

Selepas melalui 24 perlawanan, Liverpool kekal memimpin carta EPL dengan 56 mata, namun memiliki baki satu perlawanan di ‘tangan’.

Manakala di tempat kedua ialah Arsenal yang dipisahkan dengan enam mata berbanding pasukan pendahulu EPL selepas mencatatkan kemenangan sensasi ke atas Manchester City baru-baru ini.

Jurang mata yang tidak terlalu jauh ini memungkinkan persaingan perebutan takhta EPL lebih menarik untuk disaksikan menjelang Mei depan.

Penulis berpandangan, perebutan kejuaraan EPL hanya akan tertumpu kepada dua pasukan teratas ketika ini iaitu Liverpool dan Arsenal.

Bukan ingin menidakkan kemampuan pasukan seperti Nottingham Forest (47 mata) di tempat ketiga dan Chelsea (43 mata) di kedudukan keempat, namun perbezaan mata terlalu jauh ketika ini sangat sukar dikejar.

Pastinya, penulis berasakan skuad The Gunners mempunyai lebih motivasi untuk mengejar Liverpool, sekali gus menjadi juara EPL pada musim ini bagi menamatkan penantian selama 21 tahun.

Bagaimanapun, beberapa portal EPL di Britain berasakan Arsenal seperti telah menyerahkan kejuaraan EPL kepada Liverpool dengan terlalu mudah.

Ini kerana, Arsenal telah melalui jendela perpindahan Januari tanpa membuat sebarang pembelian, walaupun pengurus pasukan, Mikel Arteta meminta pemain baharu dibawa masuk ke Emirates.

Kemasukan pemain baharu terutamanya di posisi serangan sangat diperlukan selepas Arsenal kehilangan penyerang seperti Bukayo Saka, Gabriel Jesus dan Kai Havertz akibat kecederaan.

Memburukkan lagi keadaan, daripada 14 baki perlawanan, Arsenal perlu menentang berapa pasukan yang dianggap kuat di EPL seperti Forest, Manchester United, Chelsea dan Newcastle United.

Pastinya pertembungan antara Arsenal dan Liverpool di Anfield pada perlawanan ke-36 akan menjadi penentu pasukan mana yang bakal bergelar juara EPL musim ini.

Sementara itu, mengikut algoritma terbaharu daripada Supercomputer, Liverpool diramalkan memenangi kejuaraan EPL mengatasi Arsenal dengan kelebihan 10 mata.

Kebarangkalian Liverpool memenangi liga pada masa ini adalah pada 92.3 peratus, dengan peluang Arsenal untuk meraih kejayaan jauh lebih rendah pada 7.5 peratus.

Superkomputer mensimulasikan musim liga 100,000 kali. Superkomputer mengambil kira semua keputusan perlawanan dari musim lalu (merentas semua pertandingan), keputusan pramusim dan musim semasa.

Meskipun Liverpool mempunyai kelebihan berbanding Arsenal, namun The Reds berpotensi untuk tercicir mata sekiranya kalah dalam beberapa perlawanan akan datang.

Mampukah Arsenal membuat ‘comeback’, seterusnya memenangi liga atau Liverpool akan terus mengekalkan cengkaman di puncak sehingga akhir musim?

Jadi, sama-sama kita nantikan pengakhirannya. Apa-apa saja boleh berlalu selagi liga belum tamat. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN