PEMUDA itu membengkokkan sedikit lututnya sambil memegang erat paddle dan memandang tajam ke arah bola plastik berwarna kuning yang melayang di udara.
Sebaik bola itu jatuh ke atas gelanggang dan melantun ke arahnya, Ronan King Yuent bergegas memberikan serangan balas agar dia dan rakan pasukannya tidak kehilangan mata.
Sekali lihat, pemukul plastik di tangannya seakan-akan pemukul bola pingpong, manakala gelanggang yang digunakan mereka pula bersaiz gelanggang beregu badminton.
Dari segi bentuk dan kedudukan jaring dan cara pukulan seperti voli, smash dan drop shot pula kelihatan persis dalam sukan tenis.
Sukan yang menggabungkan elemen tenis, badminton dan pingpong itu dipanggil pickleball dan kini sedang popular dalam kalangan masyarakat. Ramai individu terkenal turut dilihat memainkannya seperti Khairy Jamaluddin, Aisha Retno, Tiara Jacquelina, Noh Hujan dan ramai lagi.
Gelanggang pickleball kini semakin bertambah di sekitar Kuala Lumpur (KL)dan salah satu yang pihak aktif dengan aktiviti ini ialah Universiti Malaya (UM), bahkan UM merupakan pembekal perkhidmatan pickleball pertama di Semenanjung Malaysia ketika mula diperkenalkan pada tahun 2023.
Mengenali sukan tersebut menerusi rakan rapatnya, Ronan yang merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan UM tertarik untuk menyertai sukan tersebut dengan lebih serius sekali gus menyimpan impian untuk mewakili negara ke peringkat antarabangsa satu hari nanti.
Menurut pemuda berusia 21 tahun itu, permainan pickleball sangat mudah dimainkan berbanding sukan tenis dan skuasy yang pernah disertai sebelum ini.
“Saya pernah belajar bermain tenis sewaktu kecil dahulu tetapi tidak pernah pergi ke arah permainan yang lebih profesional.
“Untuk sukan skuasy pula, saya pernah mewakili negeri di Sukan Malaysia (Sukma) dan mewakili universiti di Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (Sukipt).
“Tetapi saya rasa pickleball lebih mudah berbanding tenis kerana saiz gelanggangnya lebih kecil dan tidak memerlukan pemain berlari jauh.
“Sementara lantunan bolanya yang diperbuat daripada plastik memiliki lantunan lebih perlahan berbanding bola skuasy,” katanya kepada CitaRasa ketika melakukan latihan pickleball bersama para pelajar lain dan turut disertai pengurusan atasan UM di gelanggang Kolej Kediaman Kelima universiti tersebut.

Antara hadir ialah Naib Canselor universiti itu sendiri, Datuk Seri Ir. Dr. Noor Azuan Abu Osman; Timbalan Naib Canselor (Pembangunan), Prof Ir. Dr. Ramesh Singh Kuldip Singh dan Pendaftar, Profesor Ir. Dr. Abdul Aziz Abdul Raman.
Sehingga kini, universiti pertama Malaysia itu memiliki keseluruhan 27 gelanggang pickleball yang sebahagiannya boleh disewakan kepada orang awam.
Perkhidmatan yang terbuka kepada orang awam dibuka pada setiap hari dari pukul 7 pagi hingga 12 malam dan diselia oleh ESM Pickters Arena.
Pembantu Belia dan Sukan, Pusat Sukan UM, Noorhazwani Hazair mengakui terdapat sedikit cabaran buatnya untuk membiasakan diri dengan sukan tersebut.
Ini kerana bekas pemain badminton kebangsaan tersebut perlu mengubah postur badannya bagi menyesuaikan diri dengan gaya permainan pickleball.

Ujar wanita berusia 28 tahun itu, permainan pickleball di Malaysia masih lagi dalam kategori sukan rekreasi dan masih belum memiliki standard seperti sukan-sukan lain.
“Kerana pickleball masih lagi sukan baharu di Malaysia, kebanyakan orang masih lagi bermain secara suka-suka dan tiada standard khusus yang diikuti ketika bermain.
“Tetapi saya tetap berminat untuk bertanding dalam sukan ini satu hari nanti. Banyak lagi yang perlu saya pelajari kerana pickleball sememangnya berbeza dengan badminton,” katanya.
Untuk pengetahuan, pickleball dicipta oleh tiga lelaki, Joel Pritchard, Bill Bell, dan Barney McCallum pada tahun 1965 di Bainbridge Island, Washington, Amerika Syarikat.
Permainan melibatkan perseorangan atau beregu yang dimainkan dalam gelanggang dengan ukuran enam meter lebar dan 13.4 meter panjang. Bola perlu dipukul secara bergilir-gilir dan pemain tidak dibenarkan memukul bola dalam kawasan non-volley zone atau kitchen, yang terletak dua meter dari jaring.
Permainan tersebut akan berakhir apabila satu pasukan berjaya meraih 11 mata atau sekiran

ya berlarutan, mereka boleh menang sekiranya memiliki kelebihan dua mata berbanding lawan.
Di Malaysia saat ini, terdapat 14 lokasi permainan pickleball meliputi KL, Selangor, Perak, Johor dan Sarawak. Harga penggunaan gelanggang sekitar RM30 hingga RM70 mengikut jam.
Sementara itu, Naib Canselor UM, Dr. Noor Azuan berkata, UM berhasrat untuk melahirkan ramai atlet berkualiti dalam sukan pickleball satu hari nanti.
“UM memiliki 44,000 pelajar dan kami berharap sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah tersebut mampu menjadi atlet berkualiti, antaranya dalam sukan pickleball.
“Oleh itu, penting buat kami sediakan fasiliti seperti ini dengan harapan pelajar-pelajar akan menggunakan kemudahan yang ada untuk mengasah bakat sukan mereka,” katanya.
Pengarah Pusat Sukan UM, Afizal Abu Othman berkata, universiti itu memiliki perancangan untuk menambah enam lagi gelanggang berdekatan Q Bistro dan sembilan lagi di bangunan canselori.
Katanya, biarpun perkhidmatan pickleball tumbuh bak cendawan selepas hujan di sekitar KL, namun pihak UM percaya ia tidak akan menyebabkan persaingan sengit antara pembekal perkhidmatan.
“Sejak 2023, kami telah merekodkan sebanyak 100,000 orang yang menggunakan perkhidmatan gelanggang pickleball kami.
“Saya yakin permintaan akan terus meningkat kerana sifat pickleball yang mudah dimainkan membolehkan ia dimainkan pelbagai peringkat usia. Justeru, sukan ini akan tetap jadi sukan rekreasi atau aktiviti santai hujung minggu bersama keluarga dan rakan-rakan,” jelasnya.














