SELEPAS tiga bulan melapor diri selaku pengurus baharu Manchester United, kehadiran Ruben Amorim yang menggantikan khidmat Erik Ten Hag nampaknya belum memberikan petanda positif buat pasukan itu.
Walaupun muncul satu-satunya pasukan yang tidak tewas pada fasa liga saingan Liga Europa dan layak ke pusingan 16 terbaik, prestasi tersebut tidak memberikan gambaran sama mengenai prestasi mereka dalam kempen Liga Perdana Inggeris (EPL) apabila hanya berada dalam kelompok 10 pasukan terbawah, lebih tepat di kedudukan ke-13 ketika ini.
Mula melapor diri pada 11 November lalu, Amorim yang meninggalkan jawatan di Sporting Lisbon telah mengharungi 19 perlawanan bersama United dengan rekod lapan kekalahan termasuk tujuh pada saingan EPL dan lebih malang, lima daripadanya berlaku di laman keramat mereka, Old Trafford.
Aksi goyah yang dipamerkan menyebabkan para peminat mula ragu terhadap kemampuan pengendali berusia 40 tahun itu, sama ada pemilihannya untuk mengemudi United adalah keputusan yang tepat.
Alasan prestasi terumbang-ambing kerana jadual padat sebelum ini sehingga menyebabkan pasukan tidak mempunyai masa untuk menjalani latihan sudah ditelan ‘bulat-bulat’ oleh penyokong, namun untuk terus mengulangi alasan itu setiap kali berlaku kekalahan mungkin menyebabkan peminat mula mual.
Keputusan ‘membekukan’ Marcus Rashford dianggap keputusan berani yang dilakukan oleh Amorim apabila mendakwa pemain itu gagal memberikan aksi maksimum di padang sehingga memaksa pemain paling senior di United itu terpaksa berhijrah ke Aston Villa secara pinjaman.
Taktikal 3-4-3 yang tidak pernah digunakan United dan mula diperkenalkan oleh Amorim mungkin menjadi benteng terakhir Amorim untuk mengelak kritikan apabila menganggap para pemain masih belum ‘masak’ dengan percaturan berkenaan, namun percayalah bahawa benteng itu semakin lama semakin tipis berdasarkan aksi tidak semenggah yang dipamerkan saban minggu.
Legenda United, Gary Neville juga seakan sudah tidak tahan dengan prestasi pasukan sehingga meramalkan pasukan itu akan terus berdepan gelombang sehingga hujung musim, malah percaya ia tidak akan pulih menjelang saingan musim depan.
“Saya ingatkan situasi menjadi lebih baik bersama Amorim. Saya fikir keterujaan dan sistem baharu serta pemain baru yang hadir membolehkan United kembali bangkit, namun sebaliknya berlaku. Lebih mengejutkan, mereka semakin teruk.
“Akan lebih banyak ‘kesengsaraan’ untuk menuju ke penghujung musim dan kerosakan itu mungkin berterusan sehingga musim depan. Mereka perlu kekal bersama Amorim, tetapi kekalahan demi kekalahan membuatkan beliau sukar meyakinkan para pemain dengan idea bola sepaknya,” jelasnya.
Selepas era Sir Alex Ferguson, menjadi penyokong United sudah tidak mudah, jiwa kena lebih kental.














