fbpx
WANA meraih pingat emas pada Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 bagi kategori Putri D (60-65 kilogram) di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu (UAE) pada Disember lalu.

Wana genggam emas dunia, buru PhD

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KALAU sudah rezeki, pasti tidak akan kemana apatah lagi jika sudah berusaha sebaik mungkin.

Ungkapan itu sesuai diberikan kepada pelajar Doktor Falsafah (PhD) jurusan Pengurusan Awam dari Universiti Utara Malaysia (UUM) ini.

Hujung Disember lalu, gadis kelahiran Labuan itu menuai perhatian ramai tatkala berjaya menggegarkan pentas pencak silat dunia di Abu Dhabi, Emiriyah Arab Bersatu(UAE) dan meraih pingat emas.

Siti Shazwana Ajak yang merupakan pesilat negara dinobatkan juara Kejohanan Pencak Silat Dunia ke-20 bagi kategori Putri D (60-65 kilogram) selepas menundukkan lawannya dari Thailand.

Kejayaan pelajar yang mesra disapa Wana itu, sekali gus melayakkan dirinya membawa pulang pingat emas dan diangkat sebagai juara dunia mendahului para peserta dari 55 negara seluruh dunia.

Berkongsi kepada K-Kampus, Wana, 32, memberitahu, kejohanan dunia itu merupakan penampilannya yang ketiga dan dia bersyukur semuanya berjalan lancar.

“Alhamdulillah misi memburu pingat emas dapat direalisasikan yang mana sebelum ini saya hanya meraih pingat gangsa dan perak di edisi kejohanan dunia pada tahun 2018 dan 2022.

“Emas kali ini sangat bermakna untuk saya kerana perjuangan ini bukan sahaja untuk diri sendiri, tetapi buat Allahyarham ibu, keluarga, jurulatih dan semua yang banyak membantu saya sepanjang persiapan untuk kejohanan tersebut,” katanya.

Menceritakan perjalanannya, dia mengakui berdepan detik getir sepanjang seminggu berada di Abu Dhabi demi mengharumkan nama negara.

Jelasnya, dia perlu konsisten menampilkan aksi luar biasa dalam setiap pusingan dengan menewaskan pesilat Vietnam di suku akhir sebelum membenamkan pesilat Indonesia di separuh akhir.

IMPIAN arwah ibu menjadi pembakar semangat untuk wana bergelar juara dunia.

“Jujur saya katakan, dalam tiga perlawanan, paling sengit adalah ketika berdepan dengan Indonesia.

“Seterusnya bertemu dengan Thailand, lawan yang terkenal dengan kekuatan fizikal dan strategi.

“Alhamdulillah, dengan kepantasan ketepatan dan kekuatan mental yang luar biasa, saya berjaya mengatasi cabaran tersebut.

“Kejayaan ini menjadi bukti betapa pentingnya latihan yang konsisten dan semangat juang yang tinggi dalam mengejar sesebuah impian,” ujarnya.

Tambah Wana, impian arwah ibunya yang mahu melihat dia muncul juara pada kejohanan dunia telah menjadi pembakar semangat untuk dia terus berjuang.

Ditebak mengenai pengajiannya di Sintok, Kedah pada ketika ini, dia yang merupakan pelajar tahun akhir merancang menamatkan pengajiannya secepat mungkin sebelum melangkah ke alam pekerjaan.

Wana memberitahu, dia merancang untuk menjadi tenaga pengajar sebaik menamatkan pengajian dan memperolehi PhD, sekali gus dapat berbakti kepada masyarakat menerusi ilmu.

Ditanya mengenai seni silat yang semakin mendapat tempat terutama dalam kalangan wanita, Wana mengakui perkembangan positif dapat disaksikan dalam arena silat yang semakin berkembang pesat pada kini.

Tidak setakat itu, ujar Wana, silat juga menjadi platform kepada anak muda memasang impian untuk beraksi di pelbagai peringkat termasuk antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN