PETALING JAYA – Selangor FC berpeluang untuk menamatkan musim ini dengan satu kejuaraan apabila layak ke perlawanan akhir Piala Cabaran selepas menyingkirkan Penang FC 2-0 secara agregat.
Pada aksi separuh akhir kedua di Stadium Majlis Perbandaran Petaling Jaya, sebentar tadi, Red Giants sekali lagi menang tipis 1-0 namun ia sudah memadai bagi menempah aksi final menentang PDRM FC.
Bintang import, Alvin Fortes sekali lagi membuktikan keputusan Selangor FC mendapatkan khidmatnya sebagai percaturan berbaloi dimana pemain kelahiran Belanda itu meledak gol tunggal perlawanan.
Terdahulu, Penang FC memulakan aksi dengan rentak positif yang menyaksikan percubaan Dylan Wenzel Halls pada minit ke-30 hampir membuahkan hasil namun dinafikan oleh tiang gol.
Selepas turut terlepas peluang di babak pertama, Selangor FC akhirnya ceria apabila Fortes merobek gawang lawan pada minit ke-66 sekaligus beri tekanan tambahan buat pelawat.
Walaupun cuba bangkit, pertahanan tuan rumah yang diketuai Safuwan Baharudin berjaya mematahkan serangan Penang FC. – KOSMO! ONLINE