fbpx
Alan terkejut diganggu oleh lembaga putih berwajah hitam yang terbang laju ke arahnya semasa dia menunggang motosikal dari tempat kerjanya di Sepang ke rumahnya di Nilai pada satu malam.- Ilustrasi Hassan Shah

Pengsan diganggu lembaga putih di jalan sunyi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BIARPUN sudah lama berlalu, namun kisah seram yang dialami oleh seorang lelaki pada suatu malam masih segar dalam ingatannya.

Mana mungkin dia melupakan kisah diganggu oleh lembaga putih ketika dalam perjalanan pulang ke rumah selepas tamat waktu bekerja.

Kisah menyeramkan itu berlaku kepada pemuda yang mahu dikenali sebagai Alan ketika dia bekerja sambilan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang kira-kira 15 tahun lalu.

Ujar Alan, ketika itu, dia tinggal di Nilai, Negeri Sembilan bersama keluarganya dan berulang-alik ke tempat kerja dengan menunggang motosikal pada setiap hari.

Ketika kejadian itu, Alan baru saja selesai syif petang dan ingin pulang ke rumah sekitar pukul 2 pagi.

“Biasanya, syif saya selesai sekitar pukul 12 tengah malam.

“Namun, memandangkan perut terlalu lapar, maka saya singgah makan sebentar di sebuah restoran mamak berdekatan tempat kerja, sebelum pulang ke rumah.

“Saya masih ingat lagi, hari itu sangat memenatkan bagi saya kerana banyak tugasan yang perlu diselesaikan di tempat kerja.

“Sebaik selesai mengisi perut, saya terus terbayangkan katil di rumah dan tidak sabar untuk pulang berehat. Tambahan pula, keesokannya merupakan hari cuti saya,” katanya.

Selesai makan, Alan mencapai kunci motosikalnya, lalu bergerak pulang ke rumah. Laluan ke rumah Alan ketika itu gelap dan sunyi.

Namun, memandangkan Alan sudah terbiasa menggunakan laluan itu, dia tidak berasa takut dan meneruskan perjalanan seperti biasa.

Namun tiba-tiba, dia terlihat satu lembaga putih terbang laju menuju ke arahnya.

Alan yang terkejut dan ketakutan gagal mengawal motosikalnya, lalu terbabas sebelum terjatuh di tepi jalan.

“Mujur saya bawa motosikal dalam keadaan perlahan dan santai. Ini menyebabkan saya tidak cedera teruk,” ceritanya.

Pada mulanya, dia menyangka, lembaga itu sudah hilang. Namun, sebaik sahaja Alan bangun untuk meneruskan perjalanan, lembaga itu muncul semula betul-betul di hadapannya.

Disebabkan itu, Alan menjerit dengan kuat, sebelum cuba memecut motosikalnya dengan laju.

Namun, motosikal Alan hanya statik dan tidak bergerak sedikit pun.

Hal ini menyebabkan Alan semakin ketakutan dan peluh dingin mula membasahi dahinya.

“Lembaga putih itu mempunyai wajah kehitaman yang menyeramkan. Matanya merenung tepat ke arah anak mata saya.

“Saya terus membaca semua doa yang terlintas di fikiran, sebelum saya tiba-tiba tidak sedarkan diri,” ujar Alan.

Alan pengsan di tepi jalan, sebelum dia ditemui terbaring bersebelahan motosikalnya oleh seorang lelaki yang kebetulan berjalan kaki ke masjid untuk menunaikan solat subuh.

Ujar Alan, lelaki itu terkejut kerana menyangka dia cedera dan pengsan akibat disamun.

Alan menceritakan apa yang berlaku kepada lelaki separuh abad itu.

Menurut lelaki itu, kawasan tersebut sememangnya sunyi dan menyeramkan, namun dia tidak pernah melihat lembaga putih dimaksudkan Alan.

“Sebaik sahaja tersedar, saya melihat telefon dan mendapati bahawa terdapat banyak panggilan tidak dijawab yang dibuat oleh ibu dan adik saya.

“Mereka risau saya tidak pulang ke rumah sehingga waktu subuh,” ujar Alan tentang insiden itu.

Sehingga kini, Alan masih tidak mendapat jawapan tentang gangguan yang dialaminya itu.

“Namun disebabkan insiden itu juga, saya akan memasang bacaan al-Quran apabila memandu.

“Lebih-lebih lagi apabila memandu seorang diri pada waktu malam di laluan yang sunyi,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN