SAO PAULO – Pemain sensasi Brazil, Neymar akhirnya membuat kepulangan semula ke kelab kesayangannya, Santos apabila menandatangani kontrak selama enam bulan selepas ‘berpisah’ dengan Al Hilal bulan lalu.
Sebagai rekod, Neymar yang bersama Al Hilal sejak Ogos 2023 sanggup melupakan gaji mewah sebanyak AS$104 juta (RM436.3 juta) bersama pasukan Liga Pro Arab Saudi itu dengan membatalkan kontrak secara persetujuan bersama.
Timbalan Presiden Santos, Fernando Bonavides mengakui cukup bangga apabila berjaya mendapatkan khidmat pemain berusia 33 tahun itu selepas kali terakhir bersama pasukan pada 12 tahun lalu.
“Neymar telah menandatangani kontrak jangka pendek selama enam bulan, tetapi kami akan terus berbincang dengannya mengenai potensi lanjutan kontrak. Kalau boleh, kita mahu Neymar kekal hingga kempen Piala Dunia 2026,” katanya.
Sementara itu, Neymar yang disambut lebih 20,000 peminat setia Santos di Stadium Vila Belmiro berharap dapat kembali menemui sentuhan terbaik selepas dibelenggu kecederaan serius sejak penghujung 2023.
“Saya sangat teruja apabila dapat menjejakkan kaki ke sini sekali lagi. Banyak kenangan yang saya cipta bersama Santos dan harap dapat mengulangi pencapaian tersebut.
“Perpindahan ini bukanlah sesuatu yang mudah untuk direalisasikan tetapi saya mahu berterima kasih kepada Al Hilal kerana bersetuju melepaskan saya secara percuma,” katanya.
Neymar yang merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman skuad Brazil turut pernah mewakili kelab Barcelona dan Paris Saint-Germain (PSG). – AGENSI