TORINO – Legenda MotoGP, Valentino Rossi teruja melihat Lewis Hamilton memulakan era baharu bersama Ferrari dan menyifatkan perpindahan juara dunia tujuh kali itu sebagai salah satu peristiwa terbesar dalam sejarah Formula Satu (F1).
Hamilton yang meninggalkan Mercedes selepas lebih sedekad menggalas harapan besar untuk memacu semula Ferrari ke era kegemilangan.
“Melihatnya dalam sut merah Ferrari adalah sesuatu yang luar biasa. Saya teruja dan tidak sabar untuk melihat bagaimana dia mengendalikan cabaran ini,” kata Rossi.
Rossi yang mempunyai hubungan baik dengan Hamilton sejak sekian lama turut mengimbau kenangan mereka bertukar jentera pada 2019 iaitu momen yang dianggapnya sebagai istimewa.
“Saya masih ingat hari itu. Kami makan malam bersama, berbual panjang dan keesokan paginya saya tiba sedikit lewat untuk sesi ujian. Sementara saya masih bersiap, dia sudah lengkap dalam pakaian perlumbaan. Saya hanya mampu tersenyum,” kongsi Rossi.
Ketika musim 2025 semakin hampir, kehadiran Hamilton dalam jentera Ferrari bukan sahaja mencetuskan harapan baharu untuk pasukan itu, malah menambah satu lagi momen menarik dalam sejarah F1. – AGENSI