PETALING JAYA – Seorang pengguna Threads berkongsi pengalaman didatangi ‘tetamu tidak diundang’ ketika mengadakan majlis tertutup buat keluarganya baru-baru ini.
Pengguna yang dikenali sebagai Nur Aziah berkata, ahli keluarganya terkejut melihat kehadiran tetamu itu kerana tiada antara mereka yang mengenali atau menjemput ke majlis tersebut yang diadakan di rumah.
“Pelik tapi benar. Pada tarikh itu kami buat ‘family gathering’ (majlis berkumpul), hanya keluarga sahaja tiada jemput siapa-siapa (orang luar).
“Tiba-tiba datang dua keluarga ramai berderet bawa anak datang. Saya ingat kawan tuan rumah iaitu kakak saya, kami memang tak kenal. Bila mak tanya nama kawan yang menjemput, boleh pula dia kata (jawab) tak ingat.
“Dia tegur suami saya cakap macam kenal, tetapi suami saya pun tak kenal. Kalau dia beritahu tersilap rumah kami okey sahaja,” katanya.
Menurutnya, tetamu tersebut memaklumkan mereka dijemput melalui kumpulan WhatsApp.
“Dia cakap kawan jemput dalam kumpulan WhatsApp. Tak tahu la kawan mana bila tanya tak ingat nama.
“Kalau dia cakap silap rumah kami okey sahaja. Dia datang makan tetapi tak mengaku tersilap atau sengaja nak datang makan. Memang keluarga tak kenal dia,” ujarnya.
Kata Nur Aziah, dua keluarga itu tetap menjamu selera seolah-olah dijemput pihak tuan rumah.
“Sampai sekarang kami masih tertanga-tanya siapa mereka. Paling tak tahan ‘dessert’ yang kami nak ambil gambar untuk sambutan hari jadi ‘licin’, tengok penuh di meja mereka. Nasib tak bawa keluar,” katanya. – KOSMO! ONLINE.