fbpx
Keratan Kosmo! 19 Januari 2025.

Malaysia bukan Barat, bebas jual arak – CAP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GEORGE TOWN – Penjualan arak secara bebas boleh mendatangkan kesan negatif kepada masyarakat terutamanya ge­nerasi muda.

Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), Mohideen Abdul Kader berkata, penjualan arak perlu mematuhi peraturan ketat bagi menjaga keharmonian masyarakat majmuk di Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

“Malaysia bukan negara Barat. Kita ada budaya dan adat yang perlu dihormati. Kenyataan se­perti ‘mereka yang tidak boleh minum jangan beli’ adalah tidak masuk akal,” katanya ketika dihubungi di sini.

Sebelum ini, pelaksanaan dasar larangan penjualan minuman keras di dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam seperti dicadangkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) telah menarik perdebatan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin politik parti kerajaan dan pembangkang.

Antaranya ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming yang mahu pihak berkuasa tempatan (PBT) mengekalkan dasar sedia ada atau status quo berhubung isu penjualan minuman keras di premis perniagaan dalam kawasan majoriti penduduk beragama Islam.

Kor Ming berkata, ketetapan itu bagi menjaga keharmonian dan hubungan antara masyarakat berbilang kaum selain mengelak dijadikan sentimen politik.

Bagaimanapun Mohideen berkata, jika penjualan arak terus dibiarkan tanpa kawalan, remaja bawah umur berpotensi terjerumus dalam tabiat minum arak.

“Banyak negara Barat sudah mengambil langkah tegas untuk mengehadkan penjualan arak secara terbuka, tetapi kita seolah-olah mengabaikan risiko ini,” katanya.

Jelas Mohideen, CAP memuji tindakan Datuk Bandar Ipoh yang mengambil langkah tegas dalam isu penjualan arak di ne­geri itu.

“Langkah yang diambil oleh Datuk Bandar Ipoh amat dihargai. Menteri-menteri di peringkat Persekutuan tidak sepatutnya campur tangan dalam urusan yang berkaitan dengan kuasa negeri,” katanya.

Justeru katanya, CAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk campur tangan dalam isu ini demi memastikan dasar kawalan penjualan arak dapat dilaksanakan dengan berkesan di seluruh negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN