PETALING JAYA – Jualan tanglung di kedai fizikal masih meriah dan mendapat perhatian ramai walaupun peniaga mengakui terpaksa bersaing dengan jualan dalam talian yang jauh lebih murah.
Sempena Tahun Baharu Cina, jualan tanglung masih mendapat tempat di hati pembeli sebagai perkara wajib yang perlu dibuat.
Di Tampin, Negeri Sembilan, seorang peniaga Chuan Yen Ting, 21, membantu ibu, Lee Lai Kuen, 52, dan bapa, Chuan Kok Kiong, 55, yang sudah berniaga perhiasan Tahun Baharu Cina itu kira-kira 17 tahun lalu.
Katanya, kebanyakan pembeli terdiri daripada individu yang sudah berusia kerana lebih menyukai membeli barangan secara terus di kedai berbanding dalam talian.
Kata Yen Ting, jualan tanglung di kedainya serendah RM10 bagi tanglung bersaiz kecil serta menggunakan plastik, namun harga boleh mencecah RM110 jika saiz mencecah 100 sentimeter.
“Kebiasaannya, tanglung akan dibeli sepasang dan harga tanglung bersaiz besar yang mahal menggunakan kain adalah bagi jualan dua tanglung bersaiz sama.
“Memang dari dulu lagi, kepercayaan benda yang baik datang secara berpasangan.
“Jadi, jarang yang beli sebiji sahaja. Malah, walaupun perhiasan raya ini tidak menjadi kemestian, sambutan setiap kali perayaan haruslah meriah serta mempamerkan kebudayaan masyarakat masing-masing,” katanya di Pekan Gemencheh.
Di Gua Musang, Kelantan pula, lebih 30 keluarga masyarakat Cina yang tinggal di Taman Wawasan di sini tidak kisah berbelanja besar apabila memperuntukkan kos lebih RM2,000 hingga RM5,000 bagi membeli tanglung untuk digantung di halaman rumah sempena Tahun Baharu Cina.
Seorang penduduk, Lee Kar Fook, 63, berkata, tanglung dinyalakan sewaktu perayaan Tahun Baharu Cina menjadi tradisi turun-temurun dan merupakan simbol masa depan yang lebih cerah.
Katanya, mereka akan memasang tanglung sejak dua minggu sebelum sambutan Tahun Baharu Cina sehinggalah perayaan Chap Goh Meh.
“Selain membeli pakaian dan makanan baharu, keluarga saya juga akan memperuntukkan lebih RM2,000 bagi menyalakan tanglung di hadapan rumah.
“Saya telah memasang 30 tanglung pelbagai saiz. Walaupun berlaku kenaikan harga tanglung tahun ini, namun keluarga saya tetap membelinya kerana tanglung memberi tuah kepada kami,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Foo Seng Long, 42, berkata, tanglung yang dipasang melambangkan tradisi budaya Cina serta simbol harapan, kebahagiaan dan kemakmuran.
Katanya, sempena kedatangan tahun ular mengikut Kalendar Qamari Cina, mereka berharap agar mendapat kesihatan yang baik, kemewahan, kegembiraan serta kebebasan hidup.














