PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap buruk dan waspada yang dijangka melanda Sarawak dan Sabah sehingga Khamis ini.
MetMalaysia memaklumkan, antara kawasan yang terjejas di negeri Sarawak, termasuk Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu, Mukah, Kapit (Song), Bintulu (Tatau dan Bintulu) dan Miri (Subis dan Miri).
Sementara itu, beberapa kawasan lain di Sarawak dan Sabah juga dijangka mengalami hujan berterusan, namun dengan tahap waspada.
“Di Sarawak, kawasan yang terlibat ialah Kapit (Kapit), Bintulu (Sebauh), dan Miri (Beluru dan Marudi),” jelasnya dalam kenyataan itu.
Di Sabah, amaran hujan berterusan waspada melibatkan kawasan Pantai Barat (Ranau dan Kota Belud), Tawau (Lahad Datu), Sandakan (Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan), serta Kudat.
Penduduk di kawasan terlibat dinasihatkan supaya berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda akibat cuaca buruk ini.
Orang ramai juga disarankan mengelakkan aktiviti luar yang berisiko tinggi sepanjang tempoh cuaca tidak menentu ini. – KOSMO! ONLINE