fbpx

Bekas CEO syarikat didakwa tipu RM3.38 juta dua program kebajikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Muhamad Faizal ketika hadir di Mahkamah Sesyen, hari ini. - Foto oleh IQBAL ROSLI

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat pengendali air didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas dua pertuduhan menipu sebuah syarikat berkaitan penganjuran program kebajikan berjumlah RM3.38 juta, dua tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Muhamad Faizal Aliar, 39, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda mengaku tidak bersalah selepas kedua-dua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rosli Ahmad.

Mengikut pertuduhan pertama Muhamad Faizal didakwa menipu sebuah syarikat pengendali air di Johor untuk mempercayai ‘Program Imarah Ramadan 2023’ akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan dalam surat permohonan sumbangan bertarikh 1 April 2023, sekali gus mendorong pembayaran RM82,500 dibuat sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu syarikat sama dengan memperdaya syarikat itu untuk mempercayai ‘Program Prihatin Komuniti Madani 2023’ akan dilaksanakan seperti mana dinyatakan dalam surat permohonan sumbangan bertarikh 4 April 2023 sekali gus mendorong pembayaran RM3.3 juta dibuat sedangkan program berkenaan tidak dilaksanakan.

Kedua-dua transaksi itu dimasukkan dalam akaun bank milik ‘Pertubuhan Inspirasi Prihatin Malaysia’ yang mana syarikat itu tidak akan berbuat demikian sekiranya tidak diperdayakan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di Menara Felda Platinum Park, di sini pada 13 dan 14 April 2023 yang didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang daripada setahun dan tidak melebihi 10 tahun dengan sebat selain boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asraf Mohamed Tahir mencadangkan jaminan RM200,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin warga tempatan tanpa mengemukakan sebarang syarat tambahan.

Bagaimanapun peguam S. Preakas memohon jumlah jaminan sebanyak RM50,000 bagi kedua-dua pertuduhan memandangkan anak guamnya tidak lagi bekerja mempunyai empat anak berusia tujuh hingga 12 tahun yang masih bersekolah.

“Tertuduh juga mengalami sakit saraf tunjang yang memerlukan beliau mendapatkan rawatan di hospital selain dua anak tertuduh merupakan anak istiwewa,” kata peguam itu.

Selepas mendengar makluman dan permohonan kedua-dua belah pihak kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM100,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Tarikh 3 Mac ini ditetapkan sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI