fbpx
IBU bapa memilih kaedah BNPL kerana tidak perlu berbelanja besar berbanding membeli barangan sekolah di kedai. – GAMBAR HIASAN

Ibu bapa guna ‘buy now, pay later’ beli baju sekolah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Biarpun kira-kira sebulan lagi sesi persekolahan 2025/2026 bermula, namun ramai ibu bapa telah mula membeli barangan keperluan anak-anak terutama mereka dalam kalangan keluarga besar.

Rata-rata mereka memilih untuk membeli keperluan menerusi platform e-dagang dengan kaedah Beli Dahulu Bayar Kemudian atau dikenali Buy Now Pay Later (BNPL).

Kaedah berkenaan dipilih berikutan ibu bapa berdepan kenaikan harga barangan seperti beg, kasut dan uniform sekolah di kedai.

Seorang suri rumah, Mahyuni Zainalbidin, 39, berkata, dia dan suami memerlukan sekurang-kurangnya RM1,000 untuk menampung keperluan tiga anak yang masih bersekolah berusia antara lapan hingga 15 tahun.

“Memandangkan hanya suami yang bekerja, jadi BNPL membantu meringankan beban. Sekurang-kurangnya boleh membuat bayaran secara ansuran berbanding terus berbelanja besar dalam satu masa.

“Tiga anak sekolah, tiga-tiga daftar masa sama, jadi memang keperluan mereka perlu beli se­rentak. Alhamdulillah ada juga tampungan daripada pemberian duit BAP (Bantuan Awal Persekolahan,” katanya.

Katanya, pembelian secara dalam talian (e-dagang) dapat menjimatkan antara RM3 hingga RM10 untuk satu barang keperluan sekolah berbanding membeli secara terus di kedai.

“Harga di pasaran ketika ini sangat mahal, baju kurung sekolah untuk sepasang cecah RM50, kasut sekolah antara RM20 hingga RM30 kalau di pasar raya. Kalau beli online, jauh lebih murah terutama guna BPL,” katanya.

Sementara itu, penyelia kilang, Ahmad Zahrol Mohsinn, 42, berkata, dia memilih kaedah BNPL kerana membolehkannya membayar secara ansuran kos pembelian kelengkapan sekolah empat anaknya.

“Awal tahun ini banyak nak pakai duit, bayar cukai, nak kena hidupkan roadtax (cukai jalan) kereta dan motor.

“Dua anak saya di sekolah rendah, dua lagi menengah. Konsep BNPL adalah pilihan terbaik buat masa ini,” katanya.

Seorang lagi ibu kepada lima anak, Noor Azura Md. Idris, 45, berkata, perbelanjaan persekolahan buat kesemua puteranya melebihi RM2,500 dengan gaji suami sekitar RM3,200.

“Memang negatif duit kalau sekali berbelanja untuk anak-anak buka sekolah. Ada sahaja yang kena ganti baharu.

“Kurang sikit beban bila dapat bayar ansurans guna BNPL. Tak terasa sangat berbanding beli di kedai kena bayar sekali banyak,” kongsinya.

Menurut Noor Azura, antara kelebihan menggunakan BNPL adalah terdapat potongan harga sehingga 40 peratus selain pembelian menerusi e-dagang sering ditawarkan penghantaran percuma sekali gus menjimatkan kos.

“Saya survey uniform lengkap pelajar sekolah menengah sekitar RM50 hingga RM60 sepasang di kawasan Kuala Lumpur. Itupun bukanlah yang berjenama. Kalau di online boleh dapat RM40 sepasang. Setiap seorang anak, paling kurang dua pasang.

“Lagipun, beli online (e-dagang) dalam masa sama dapat kawal perbelanjaan yang penting sahaja,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN