BERBICARA tentang alam sekitar, ia merupakan salah satu anugerah Tuhan yang begitu bernilai kepada manusia.
Malah, kehidupan manusia amat bergantung kepada sumber alam sekitar itu sendiri.
Oleh itu, usaha melestarikan alam sekitar wajar dilakukan dengan segera dan berterusan.
Dalam menjayakan matlamat itu, Universiti Teknologi Mara (UiTM) menjadi salah satu institusi yang bergerak aktif bagi melestarikan alam sekitar. Apatah lagi statusnya sebagai perintis Rakan Alam Sekitar (RAS) Kluster Kampus diwujudkan kerajaan menerusi Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 2022 menerusi Persatuan Rakan Alam Sekitar UiTM Student Chapter (RAS UiTM SC).
Presiden RAS UiTM SC, Wan Nur Aishah Wan Noor berkata, pihaknya aktif menganjurkan program-program kelestarian alam sekitar bersama-sama dengan komuniti.
“Kami bukan hanya menganjurkan program di universiti, malah kita akan mendekatkan diri dengan komuniti. Banyak program alam sekitar yang kami anjurkan melibatkan penyertaan komuniti setempat.
“Tujuan utamanya adalah untuk memberi kesedaran dan menyemai rasa cinta pada alam sekitar dalam jiwa orang ramai,” katanya.
Tambahnya, setiap lapisan masyarakat harus dididik dan disemai dengan sikap menjaga alam sekitar.
Untuk makluman, persatuan RAS UiTM SC ketika ini mempunyai 35 orang ahli aktif.

Persatuan itu juga memiliki hampir 1,500 sukarelawan yang merupakan mahasiswa di pelbagai fakulti dalam Kampus UiTM Shah Alam, Selangor.
Setiap program alam sekitar anjuran RAS UiTM SC perlu melibatkan seramai mungkin sukarelawan yang terdiri daripada mahasiswa.
Menurut Wan Nur Aishah, antara program alam sekitar anjuran RAS UiTM SC yang melibatkan ramai sukarelawan adalah penanaman pokok bakau.
“Kami anjur dua hingga tiga kali setahun aktiviti tanam pokok bakau. Sukarelawan terlibat perlu membantu kami menanam pokok di kawasan paya berselut,” ujarnya.
Selain itu, RAS UiTM SC sering mengadakan program pengumpulan sisa elektronik atau e-waste.
Ujar Wan Nur Aishah, sejak persatuan itu ditubuhkan, pihaknya telah mengadakan hampir 13 kali program berkaitan pengumpulan sisa elektronik ini.
Tambahnya, persatuan itu juga sering mengadakan program berkaitan pengurangan penggunaan plastik, membersihkan pantai dan banyak lagi.
Sementara itu, menurut Wan Nur Aishah, sepanjang mengadakan program berkaitan alam sekitar bersama komuniti, dia mendapati bahawa masyarakat sebenarnya tahu mengenai kepentingan menjaga alam semula jadi.
Namun katanya, kebanyakan daripada mereka tidak mengambil sebarang inisiatif bagi menjaga alam sekitar.
“Oleh sebab itu, sebagai persatuan alam sekitar, kami bergerak untuk memberikan kesedaran kepada masyarakat.
“Ini sekali gus dapat menggerakkan mereka untuk berbuat demikian.
“Kami juga cuba menggalakkan masyarakat melakukan amalan kitar semula, mengumpul sisa elektronik dan lain-lain di rumah.
“Kami berharap, usaha mereka ini dapat memberi kesedaran alam sekitar kepada orang lain di sekeliling,” jelasnya.

Dalam pada itu, Naib Presiden RAS UiTM SC, Siti Asyura Aina Saiful Azhar memaklumkan, semua program yang dianjurkan pihaknya berjaya memberi impak kepada alam sekitar.
Menurutnya, aktiviti penanaman bakau yang dilaksanakan merupakan salah satu program yang memberi kesan besar kepada alam sekitar.
“Kita telah menganjurkan banyak program penanaman pokok bakau, dan salah satunya adalah di Denai Tebuk Mendeling, Sabak Bernam, Selangor.
“Di situ, kita berjaya menanam sebanyak 1,000 pokok bakau sebagai salah satu langkah proaktif memulihkan kawasan pesisir pantai yang terjejas akibat pembangunan tidak terkawal dan perubahan iklim,” jelasnya.
Tambahnya, melalui program penanaman pokok bakau itu juga, pihaknya berharap ia dapat memulihkan ekosistem yang terancam di situ.
“Pada masa sama, program ini dapat membantu mahasiswa terlibat memahami ekosistem hutan paya bakau.
“Mereka juga dapat mengetahui kepentingan biodiversiti serta peranan pokok bakau dalam melindungi garis pantai daripada hakisan,” ujarnya.
Untuk makluman, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mempunyai satu program yang dinamakan sebagai Rakan Alam Sekitar (RAS).

Menurut penasihat RAS UiTM SC, Ts. Nur Ain Mohd. Zainuddin, sebenarnya ramai tidak mengetahui tentang kewujudan RAS di dalam JAS.
Katanya, ketika Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menjawat jawatan sebagai Menteri Alam Sekitar, beliau berhasrat ingin menghidupkan kembali RAS.
“Saya dimaklumkan tentang hal itu ketika mengadakan program bersama JAS.
“Jadi, kami bercadang untuk mewujudkan RAS mengikut kluster. Dengan itu, UiTM akan menjadi universiti awam pertama di bawah RAS.
“RAS UiTM SC dilancarkan pada 29 Mac 2022. Selepas itu, universiti lain juga mempunyai kluster RAS ini,” jelasnya.
Media pada 29 Mac 2022 melaporkan UiTM dinobat perintis RAS Kluster Kampus.
Objektif utama persatuan tersebut ditubuhkan adalah untuk menjadi mata, kaki dan tangan kepada pihak JAS. Justeru, program-program yang dianjurkan oleh persatuan berkenaan perlu selari dengan misi JAS.
Sebagai contoh, misi JAS sekarang adalah berkaitan pengurusan sisa elektronik, tidak menggunakan plastik dan penanaman semula pokok. Oleh itu, RAS UiTM SC akan menganjurkan program-program yang selari dengan misi tersebut.
Selain itu, Nur Ain menjelaskan, menerusi persatuan itu, pihaknya dapat menyemarakkan kesedaran masyarakat tentang usaha pemuliharaan alam sekitar.
Menurutnya, pihaknya sedia menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak untuk menjayakan program berkaitan alam sekitar.
“Melalui kerjasama bersama komuniti, organisasi atau pihak berkuasa untuk menjayakan program kelestarian alam sekitar, kita mampu untuk membawa perubahan yang besar.
“Kita perlu terus menjaga alam sekitar demi masa depan lebih lestari untuk diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Selain kesedaran alam sekitar, Nur Ain berkata, pihaknya juga giat mendidik komuniti untuk mengolah barang-barang terpakai untuk dijadikan produk bernilai.
“Apabila kita turun mengadakan program bersama komuniti, mereka menyatakan bahawa kebanyakan baju terpakai akan dibuang di dalam tong sampah.
“Sepatutnya kita tidak boleh membuang baju-baju terpakai ini ke dalam tong sampah begitu sahaja kerana ia boleh menyebabkan berlakunya masalah mikroplastik.
“Oleh itu, kami mengajar mereka untuk menghasilkan ‘tote bag’ dengan menggunakan teknik potong dan ikat sahaja,” jelasnya.
Tambahnya, melalui kaedah tersebut, baju-baju terpakai boleh diolah menjadi satu produk lain dan ia tidak perlu dibuang begitu sahaja.
Nur Ain menambah, apa yang penting, persatuan itu turut memberi manfaat kepada ahli-ahlinya yang terdiri daripada mahasiswa UiTM.
Menurutnya, para pelajar berpeluang belajar pelbagai ilmu yang tidak terdapat di dalam kelas seperti menjayakan sesuatu program alam sekitar melibat komuniti, badan bukan kerajaan dan agensi kerajaan.
“Para pelajar terlibat dapat membina jaringan dengan pihak berkepentingan lain yang turut sama menjayakan program-program alam sekitar.
“Malah, mereka dapat belajar cara untuk mendapatkan kepercayaan daripada syarikat-syarikat besar untuk menyumbang dana menjayakan program berkaitan alam sekitar,” katanya.















