fbpx
Beberapa pengunjung tidak melepaskan peluang menaiki jet car di perairan Langkawi.

Memandu ‘kereta mewah’ di atas air

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYAKSIKAN daratan Langkawi, Kedah ketika matahari terbenam dari atas kapal persiaran serba mewah merupakan satu pengalaman yang perlu dirasai oleh pengunjung apabila bercuti di pulau peranginan itu.

Lautan biru yang terbentang luas dengan deretan 99 buah pulau kecil mengelilingi pulau besar Langkawi menjadi latar belakang sepanjang pelayaran selama empat jam itu.

Pelayaran itu bermula di jeti persendirian di Jalan Pelangi, Kuah pada pukul 4 petang.

Bagi pengunjung yang inginkan suasana pengembaraan, ada pelbagai aktiviti air yang boleh dilakukan sepanjang pelayaran berkenaan.

Antaranya, bermain jet car atau jet ski berbentuk seperti kereta mewah, jakuzi air laut, gelongsor air dan kanu lutsinar.

Jet car merupakan aktiviti terbaharu yang boleh dilakukan di Langkawi.

Dua buah jet car tersebut boleh dinaiki sebaik sahaja pelayaran bermula, dan beberapa pengunjung berkesempatan mempamerkan aksi seolah-olah sedang berlumba sambil mengelilingi kapal persiaran berkenaan.

Kapal tersebut kemudian berhenti tidak jauh dari Pantai Pasir Dagang di Pulau Dayang Bunting bagi menunggu matahari terbenam dan makan malam.

Semasa berhenti, pengunjung yang berani boleh mencuba aktiviti terjun dari dek atas kapal terus ke dalam air ketika sesi jakuzi air laut.

Selain itu, bagi mereka yang kurang berkeyakinan untuk terus melompat ke dalam air, ada dua gelongsor di belakang kapal.

Gelongsor itu akan membawa pelawat terus menuju ke dalam jakuzi air laut.

Pengunjung yang melakukan aktiviti air diwajibkan memakai jaket keselamatan.

Bagi jakuzi air laut, satu jaring besar akan direntangkan di belakang kapal bagi memastikan keselamatan pengunjung sentiasa terjamin.

Bukan itu sahaja, bagi pengunjung yang mahu ‘lari’ dari cuaca panas di Langkawi ketika ini, terdapat ruangan dilengkapi pendingin hawa disediakan di bahagian dek bawah kapal tersebut.

Di situ, terdapat set karaoke bagi pengunjung bersuara emas, selain boleh menikmati hidangan dan minuman yang disediakan di ruangan tersebut.

Kapal persiaran, Beauty Princess digunakan untuk membawa pengunjung mengelilingi Langkawi.

Menurut Pengarah Eksekutif, Langkawi Papa Rich Leisure Sdn. Bhd. iaitu syarikat yang mengendalikan pelayaran itu, Hazani Hussin, kapal persiaran Beauty Princess boleh memuatkan sehingga 333 orang pada satu-satu masa.

“Kapal ini merupakan kapal persiaran terbesar yang berpangkalan di Langkawi ketika ini dengan kapasiti lebih 300 orang pada setiap pelayaran.

“Selain pelayaran semasa matahari terbenam, kami juga belayar pada waktu siang.

“Kami turut membuka tempahan secara tertutup bagi mereka yang mahu mengadakan acara keraian di atas kapal ini,” katanya.

Hazani memberitahu, kapal tersebut dibina menggunakan kayu dan aluminium dengan saiz 45 meter (m) panjang dan 11.15m lebar, selain dua dek yang dilengkapi kerusi santai bagi pengunjung berehat.

Selain itu, bufet makan malam turut disediakan kepada pengunjung dengan pelbagai menu menarik.

Antaranya, sate, ayam bakar, serta menu barbeku. Pengunjung juga berpeluang menikmati makan malam sambil menyaksikan pemandangan matahari terbenam.

Sementara itu, seorang pelancong berasal dari Jerman, Aisyah Nurjannah Stark, 27, berkata, pengalaman menaiki jet car amat berbeza berbanding jet ski biasa.

“Membawa jet car lebih selamat dan seperti memandu kereta lumba.

“Selain jaket keselamatan, ada tali pinggang keledar yang perlu dipakai. Jet car juga ada kerusi yang selesa, jadi rasa lebih stabil berbanding jet ski,” ujarnya.

Aisyah Nurjannah memaklumkan, ada ketikanya, dia dilambung ombak, sekali gus memberikan keterujaan kepadanya.

Tambahnya, pemandangan semasa matahari terbenam ketika meluncur laju di atas jet car adalah pengalaman yang tidak boleh dilupakan.

Seorang lagi pengunjung, Mohd. Shahar Harun yang pertama kali menyertai pelayaran seperti itu berkata, dia teruja dapat mencuba jakuzi air laut.

Ujarnya, aktiviti itu memberi pengalaman yang sangat berbeza berbanding mandi di pantai.

Sebelum mandi, dia dipakaikan jaket keselamatan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

Pelawat juga diberikan penerangan ringkas mengenai apa yang perlu dibuat semasa di dalam air.

“Saya mandi di laut luas yang dalam. Saya bermula dengan melompat terus ke dalam laut dari atas kapal melalui platform yang disediakan.

“Saya dapat merasakan perbezaan yang sangat ketara berbanding mandi di tepi pantai.

“Air rasa lebih masin, lebih segar dan bersih berbanding di tepi pantai. Air laut di bahagian dalam ini juga rasa lebih sejuk, walaupun cuaca di Langkawi ketika ini panas,” katanya.

Tambahnya, makan malam yang dihidangkan ketika hampir waktu matahari terbenam juga sangatlah mengasyikkan, dan dia ingin kembali dengan keluarganya bagi percutian akan datang.

Pelancong yang ingin menaiki kapal layar atau persiaran semasa di Langkawi digalakkan menempah melalui ejen pelancongan berdaftar bagi mengelakkan unsur penipuan dan isu keselamatan.

Wakil Khas Zon Langkawi, Persatuan Pelancongan Malaysia, Ahmad Pishol Ishak berkata, ketika ini, ada banyak kapal layar yang berlabuh di beberapa jeti di sekitar Langkawi.

“Kita mengalu-alukan kedatangan kapal layar baharu di Langkawi kerana produk pelancongan seperti ini akan menjadi nilai tambah kepada pasaran MICE (mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran).

“Orang ramai boleh menempah melalui ejen pelancongan berdaftar. Jadi, masalah insurans atau kapal tidak berlesen boleh dielakkan,” katanya.

Menurutnya, kapal yang berlayar sewaktu matahari terbenam menjadi salah satu cara untuk pelancong melihat keindahan Langkawi dari laut.

Ujarnya, terdapat banyak pakej pelayaran yang ditawarkan dengan harga berpatutan.

Tambahnya, selain pelayaran biasa, pelancong juga boleh menempah pakej pelayaran halal atau menyewa kapal layar bagi majlis-majlis keraian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN