fbpx
TERSENTUH mengenangkan nasib rakan-rakan serta sanak saudara yang menetap di kampung tanpa pendapatan tetap. - GAMBAR HIASAN

Naik gaji, apa nasib orang kampung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERMULA Disember lalu, rata-rata penjawat awam tersenyum lebar melihat ‘slip’ gaji baharu apabila kebanyakan mereka mendapat kenaikan tinggi selepas menandatangani Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA).

Begitu juga kakitangan swasta yang turut merasai sedikit kenaikan gaji bulan ini selepas 12 bulan bertungkus-lumus membanting tulang di syarikat masing-masing.

Malah, dalam kalangan mereka juga sudah ada yang bercita-cita ingin menukar kereta baharu, melancong bersama keluarga semasa cuti sekolah nanti serta ada yang ingin menambah pelaburan.

Masing-masing ada perancangan tersendiri dan ada yang ingin ‘rewardkan’ diri setelah berhempas pulas memerah keringat.

Bagaimanapun, penulis agak tersentuh apabila mengenangkan nasib rakan-rakan serta sanak saudara yang menetap di kampung tanpa pendapatan tetap. Tiada siapa yang boleh naikkan gaji mereka, malah ada juga yang bila tiada kerja, tiadalah gaji dan hanya boleh bekerja secara bermusim.

Sebagai contoh, penoreh getah jika hari hujan mereka tidak boleh menoreh dan tiadalah pendapatan.

Lebih menyedihkan, ketika ini juga kebanyakan negeri masih dilanda musim Monsun Timur Laut (MTL) yang mana ia membawa hujan lebat dan boleh mengakibatkan banjir.

Sudah tentu penduduk kampung yang mencari pendapatan dengan menoreh, bersawah ataupun buruh kasar hilang pendapatan ketika ini.

Betapa hebatnya ujian mereka, penulis yakin walaupun ada sedikit bantuan daripada pihak kerajaan melalui Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (Sara) ia tidak mampu untuk menampung kehidupan seharian mereka.

Ini kerana berdasarkan temu bual penulis bersama pakar ekonomi, Prof. Emeritus Dr. Barjoyai Bardai menjangkakan berlaku kenaikan harga barang dalam masa terdekat.

Katanya, perkara itu berlaku seiring dengan pengumuman kenaikan gaji kakitangan awam dan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 serta penyasaran subsidi petrol RON95.

“Kenaikan harga barang pasti akan berlaku, mahu tak mahu semua orang pasti akan melaluinya.

“Peniaga memang sentiasa mencari peluang untuk menaikkan harga barang.

“Mereka (peniaga) juga melihat pengguna mempunyai kuasa beli yang lebih dan mereka menaikkan harga dengan alasan terpaksa membayar gaji lebih selain peningkatan kos pembelian barang terutamanya yang diimport,” katanya.

Barjoyai berkata, kesan peningkatan ini akan terus berangkai sehingga akhirnya pengguna menerima kesannya.

“Kesan berangkai berlaku di segenap peringkat perniagaan misalnya di peringkat pengeluar kerana apabila gaji naik dan berlaku peluasan cukai, mereka akan mengalami kenaikan kos.

“Kenaikan kos itu akan diserap dalam harga barang. Apabila pemborong ambil barang pada harga tinggi, barang itu akan pergi kepada peruncit dengan harga turut meningkat,” ujarnya.

Jadi, apa nasib ‘orang kampung’ sekiranya keadaan ini berterusan berlaku? Penulis tidak mahu menuding jari menyalahkan mana-mana pihak, tetapi perkara ini perlu dipandang serius. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN