fbpx
Laluan tanah di perkampungan Orang Asli di Gua Musang yang berlumpur setiap kali musim tengkujuh.

Jalan rosak sukarkan bantuan ke kampung Orang Asli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GUA MUSANG – Penduduk Orang Asli di empat pos pedalaman di sini, sering terputus bekalan makanan ketika musim tengkujuh apabila mereka tidak dapat keluar ekoran keadaan jalan yang berselut dan berlumpur.

Ekoran itu, penduduk Pos Bihai, Pos Balar, Pos Belatim dan Pos Hau mahu Projek Jalan Perhubungan Bersepadu bernilai RM200 juta di negeri ini dapat dilaksanakan mengikut jadual.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) Kampung Tendrik, Pos Bihai, Apek Asud berkata, kerosakan jalan setiap kali musim hujan juga menyebabkan bantuan makanan sukar diagihkan di kawasan itu.

Katanya, penduduk sudah lama menanti jalan perhubungan yang lebih selesa bagi kemudahan penduduk berulang-alik melakukan pelbagai urusan di bandar Gua Musang.

“Apabila musim tengkujuh, kami terkandas di kampung dan tidak dapat keluar ke bandar. Kebanyakan penduduk hanya mengharapkan bantuan makanan daripada Jabatan Kemajuan Orang Asli yang dihantar melalui helikopter.

“Kalau musim hujan, lebih empat jam masa untuk ke bandar Gua Musang berbanding dalam tempoh satu jam setengah,” katanya.

Seorang penduduk Orang Asli, Amad Apek, 50, berkata, meskipun pelbagai projek baik pulih jalan tanah atau penyelenggaraan sudah dilaksanakan sebelum ini, namun penduduk masih menghadapi masalah jalan rosak.

Disebabkan itu, Projek Jalan Perhubungan Bersepadu amat diperlukan penduduk terutamanya murid sekolah, guru dan petugas kesihatan.

“Kami berharap projek itu dapat disiap mengikut jadual,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Nege­ri Galas, Mohd. Syahbuddin Hashim berkata, hampir 10,000 penduduk Orang Asli di kawasannya dan berhampiran bakal menerima manfaat daripada Projek Jalan Perhubungan Bersepadu.

“Saya harap selepas musim tengkujuh ini kerja-kerja di tapak bina dapat berjalan lancar kerana betapa sukarnya masyarakat Orang Asli keluar masuk kampung,” katanya.

Sebelum ini, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah meluluskan peruntukan RM200 juta untuk projek menambah baik jalan di beberapa kawasan perkampungan Orang Asli di Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN