“KENAPA aku jumpa perhentian bas ini lagi?”
Getus hati Ismail Yaakub (bukan nama sebenar) ketika memandu pulang ke rumahnya dari tempat kerja.
Persoalan itu timbul kerana dia berasakan perjalanan pulang ke rumah pada malam itu lebih lama daripada kebiasaan.
Mana tidaknya, sedangkan masa yang diambil dari pejabat ke rumahnya tidaklah jauh mana.
Pada malam itu, dia menghabiskan masa lebih 15 minit melalui jalan sama iaitu laluan perhentian bas berhampiran rumahnya.
Disebabkan berasa bimbang, Ismail yang memandu kereta berhenti di bahu jalan sambil memperhatikan keadaan di sekeliling.
Perasaan bimbang mula menyelubungi minda Ismail selepas teringat cerita temannya tentang penunggu perhentian bas yang kerap mengganggu pengguna jalan raya pada tengah malam.
Hati Ismail semakin berdebar apabila dia melihat ada seorang wanita berpakaian tradisional Melayu iaitu kebaya putih dan berselendang menghampiri perhentian bas itu.
“Apa orang itu buat waktu tengah malam macam ini. Mustahil dia menunggu seseorang?” soal Ismail pada dirinya.
Ketika Ismail berteka-teki dengan dirinya sendiri kerana masih tidak sampai-sampai rumah, dia mengambil telefon bimbit dari poket seluar untuk cuba menghubungi rakan serumahnya.
“Malek tolong ambil aku dekat perhentian bas sekejap boleh? Kereta aku ada masalah sikit. Tolong aku sekejap ya?” pinta Ismail kepada rakannya itu.
Setelah selesai urusannya itu, Ismail kembali melihat ke arah perhentian bas itu. Namun, alangkah terkejutnya dia apabila mendapati wanita yang ada di situ tiba-tiba hilang.
Matanya terus melilau mencari susuk wanita yang tidak dikenalinya itu.
Biarpun tidak mengenali identiti individu terbabit, namun Ismail begitu tertarik untuk mengetahui ke mana hala tujuan wanita berkenaan sementelah melalui kawasan sunyi itu sendirian.
Setelah 15 minit menunggu, Ismail mula tertanya-tanya kedudukan Malek.
Hal ini kerana, masa yang diambil untuk ke perhentian bas dari rumah mereka hanya lima minit.
Ketika Ismail cuba menghubungi Malek, tiba-tiba terdengar bunyi ketukan pada bahagian belakang keretanya.
Hati Ismail mula tertanya-tanya, sama ada bunyi itu disebabkan ranting kayu atau dahan pokok yang jatuh.
Niat di hati hendak keluar, tetapi Ismail mematikan hasratnya itu selepas melihat wanita tadi kembali berada di perhentian bas tersebut.
Hatinya mula bercampur-baur apabila wanita itu tiba-tiba menoleh ke arahnya.
Namun, disebabkan keadaan sekitar yang agak gelap dengan sumber pencahayaan terhad, Ismail tidak dapat melihat wajah wanita itu dengan jelas.
Mata Ismail menatap tepat ke arah wanita itu yang tiba-tiba berjalan ke tengah jalan raya, sebelum hilang dalam kepekatan malam.
Melihat perkara itu, degup jantung Ismail berdegup kencang dan terus cuba menghubungi Malek. Namun, tiada jawapan.
Ismail mula cemas apabila rakannya gagal dihubungi. Tiba-tiba, Ismail terdengar suara wanita memanggil namanya dari tempat duduk penumpang.
Ismail tidak menoleh ke belakang, sebaliknya hanya terus berusaha menghubungi Malek. Tiba-tiba kedengaran suara: “Ismail. Ismail. Ismail belum balik lagi?”
Mendengarkan suara itu, bulu roma Ismail berdiri tegak. Dia tidak terfikir untuk menoleh ke belakang, apatah lagi menjawab pertanyaan suara wanita itu.
Mata Ismail kemudian melihat ke arah jalan apabila dia ternampak Malek sedang menunggang motosikal menghampirinya.
Ismail kemudian keluar dari kereta dan menjerit memanggil nama Malek.
Ismail kemudian berlari ke arah Malek yang kelihatan bolak-balik di kawasan perhentian bas itu.
Seketika kemudian, wajah Malek terkejut melihat Ismail tiba-tiba mendekatinya.
“Apa kau buat dekat sini, mana kereta?” tanya Malek.
“Kau tak dengar aku panggil. Dari tadi aku jerit nama kau. Kenapa kau tidak dengar aku panggil?” soal Ismail dalam nada tinggi.
Tidak mahu berbalah, Malek meminta Ismail mengambil keretanya untuk pulang bersama. Sebaik menghampiri kereta, wajah Malek turut berubah pucat kerana terkejut ada perempuan di tempat duduk belakang kereta Ismail.
Mungkin kerana menyedari kemunculannya disedari, wanita itu tiba-tiba menghilang. Malek yang mula menyedari hal yang menyebabkan Ismail berperilaku aneh itu, segera meminta Ismail memandu kereta dan meminta dipandu tidak terlalu laju agar dia dapat mengikuti dari belakang.
Ketika melalui kawasan perhentian bas itu, Malek melihat susuk wanita berbaju kebaya putih sedang duduk di perhentian bas seorang diri.
Meskipun wajahnya tidak kelihatan, tetapi cukup membuatkan dia gementar.
Malek bersyukur, dia dan Ismail akhirnya selamat pulang ke rumah. Tetapi, menjadi persoalan apabila mereka menghidu bau wangi.
Kedua-dua mereka saling berpandangan, sebelum cepat-cepat masuk ke dalam rumah.














