MALAYSIA telah menunjukkan potensi besar untuk menjadi hab e-Sukan penganjuran terkemuka di rantau Asia hasil kejayaan penganjuran Kejohanan Dunia M6 Mobile Legends: Bang Bang (MLBB) yang berjaya menarik jutaan penonton.
Kejohanan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil itu bukan sekadar memperlihatkan kehebatan atlet e-Sukan tempatan dan antarabangsa, tetapi juga mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi utama penganjuran kejohanan e-Sukan bertaraf dunia.
Penganjuran Kejohanan Dunia M6 bukti keupayaan negara dalam menyediakan platform dan persembahan bertaraf antarabangsa untuk penganjuran e-Sukan.
Kejohanan ini tidak hanya membawa kepada perhatian global terhadap pemain e-Sukan tetapi membuka peluang besar meningkatkan pelaburan dalam sektor ini.
Bagi penulis, seiring dengan perkembangan pesat industri e-Sukan, Malaysia kini berada di landasan yang tepat untuk memanfaatkan potensi besar yang ditawarkan oleh sektor ini terutama e-Sukan mobile.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli berkata, Kejohanan M6 adalah langkah awal yang strategik dalam membina reputasi negara di persada dunia e-Sukan apabila kejohanan tersebut mendapat tontonan lebih 4 juta.
Jaringan luas tersebut membuktikan Malaysia dapat memainkan peranan sebagai lokasi hab utama e-Sukan di rantau Asia, sekali gus mampu menarik minat pelabur dan memberi pulangan yang cukup baik kepada ekonomi negara.
“Kejohanan ini bukan sahaja memperkenalkan Malaysia sebagai lokasi penganjuran e-Sukan kelas dunia, tetapi turut memberikan impak besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, terutamanya dalam menarik pelaburan ke dalam sektor digital dan teknologi.
“Aktiviti e-Sukan di negara tidak tertumpu kepada MLBB sahaja tetapi pasukan negara juga hebat dalam judul permainan lain seperti e-Football, PUBG, Valorant.
“Kita juga nampak persembahan dan kualiti permainan atlet negara sangat baik dan mereka telah mencipta kejayaan sekali gus membanggakan negara,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Adam turut menyatakan bahawa sokongan padu dari pihak kerajaan dalam industri e-Sukan akan menjadi kunci kejayaan Malaysia menganjurkan lebih banyak acara bertaraf antarabangsa.
“Kejohanan seperti M6 yang berjaya ini akan terus menjadi batu loncatan bagi negara untuk menjadikan e-Sukan sebagai satu sektor yang mampan dan berkembang pesat dalam ekonomi digital negara. Kita juga sedang melakukan perbincangan dengan pemain industri e-Sukan itu sendiri seperti di Arab Saudi dan sebagainya.
“Kerjasama ini meletakkan Malaysia sebagai salah satu pemain penting dalam industri e-Sukan. Selain itu, kerajaan juga telah memberi fokus kepada industri e-Sukan dan dalam Belanjawan MADANI 2025 dengan memperuntukkan sebanyak RM20 juta.
“Jadi, kita harap dana yang diberikan itu dapat memperkasa ekosistem e-Sukan dan membawa pulang kepada negara. Kita mahu, setiap dana kita berikan disalurkan dengan lebih strategik dan dapat membawa impak yang besar selain pulangan yang setimpal,” tambahnya.
Dengan sokongan berterusan dan kerjasama erat antara kerajaan, pemain industri, dan komuniti e-Sukan, Malaysia berpeluang untuk memperkukuhkan kedudukannya sebagai hub e-Sukan terkemuka di peringkat Asia mahupun dunia pada satu hari nanti.














