KOTA BHARU – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil tindakan tegas dengan segera mendakwa pemandu kenderaan perdagangan terutamanya lori dan treler yang cuai sehingga terbabit dengan kemalangan di mahkamah.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kertas pertuduhan akan dibuat ke atas pemilik lesen untuk proses pendakwaan mengikut Seksyen 57 Akta 715 kerana kesalahan melanggar lesen pengendali sekali gus gagal memberikan keutamaan ke atas pengguna jalan raya yang lain.
Menurutnya, JPJ sudah mengeluarkan sebanyak lapan kertas siasatan ke atas lori dan treler yang terlibat dengan kemalangan sejak Julai tahun lalu.
“Kita memberi amaran keras kepada semua pemilik lesen perdagangan kerana kesalahan yang sama masih berulang.
“Sekiranya berlaku kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu, tindakan tegas akan diambil kepada semua pemilik kenderaan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Operasi Khas Motosikal Bersepadu sempena malam tahun baharu di Akademi JPJ Wilayah Timur, Jalan Kuala Krai di sini semalam.
Mengulas lanjut, Muhammad Kifli memberitahu, sebanyak 23,020 kenderaan perdagangan diperiksa dalam tempoh enam hari Operasi Khas Gempur Teknikal dilaksanakan bermula 25 Disember lalu.
Menurutnya, lebih 2,000 kenderaan perdagangan dikesan melakukan kesalahan teknikal seperti tidak menyelenggara kenderaan dengan baik, tayar tidak mengikut spesifikasi dan tayar haus. – KOSMO! ONLINE