LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta percaya pasukan sudah bersedia untuk melupakan umpanan berbisa Bukayo Saka menjelang aksi menentang Brentford pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Stadium Komuniti Gtech awal pagi esok.
Sebagai rekod, Saka yang mengalami kecederaan pada minggu lalu dilaporkan bakal berehat lebih dua bulan sekali gus menjejaskan misi Arsenal untuk mencabar kejuaraan liga musim ini.
Namun, Arteta optimis semua pemain sudah bersedia untuk memberikan prestasi terbaik dalam usaha memburu kemenangan sekali gus merapatkan jurang mata dengan pendahulu ketika ini, Liverpool.
“Saya harap peminat faham, meskipun Saka berada dalam pasukan, ia tidak bermakna kami dapat menjaringkan tiga atau empat gol pada setiap perlawanan.
“Apa yang penting semangat berpasukan di atas padang kerana itulah kekuatan kami. Pasukan ini tidak pernah bergantung dengan individu dan siapa sahaja yang diturunkan dapat memberi prestasi terbaik nanti,” katanya.
Sementara itu, pengendali Brentford, Thomas Frank mengakui pasukannya agak tempang untuk berdepan Arsenal selepas beberapa pemain utama seperti penjaga gol, Mark Flekken dan kapten, Ben Mee mengalami kecederaan.
“Mee mungkin disisihkan selama dua minggu. Namun, saya tidak pasti Flekken sempat atau tidak diturunkan tetapi kami menerima khabar positif apabila Christian Norgaard sudah pulih untuk menentang Arsenal,” katanya. – AGENSI














