PETALING JAYA- Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) menjangkakan hujan lebat dan angin kencang melanda beberapa negeri malam ini.
MetMalaysia dalam kenyataan hari ini memaklumkan, negeri-negeri yang dijangka terjejas ialah Kedah, Perak, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.
“Di Kedah, cuaca buruk dijangka melibatkan kawasan Kulim dan Bandar Baharu. Manakala di Perak, kawasan yang terlibat termasuk Larut, Matang Dan Selama, Kinta, Kampar, Batang Padang, serta Muallim,” menurut kenyataan itu.
Bagi Pahang, ribut petir diramalkan melanda Raub dan Bentong, sementara di Selangor, kawasan yang dijangka terjejas adalah Hulu Selangor, Gombak dan Hulu Langat.
Di Negeri Sembilan pula, Jelebu, Seremban, Kuala Pilah dan Rembau termasuk dalam kawasan yang menerima amaran cuaca buruk.
“Johor turut terkesan dengan keadaan ini, melibatkan kawasan Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru.
“Sementara itu, di Sabah, kawasan Pedalaman seperti Sipitang, Tenom dan Nabawan diramal mengalami keadaan cuaca yang sama,” tambahnya.
Penduduk di kawasan terlibat diingatkan untuk berwaspada terhadap risiko banjir kilat, pokok tumbang dan kerosakan harta benda akibat angin kencang.
Orang ramai juga disarankan untuk mendapatkan maklumat terkini melalui laman web rasmi MetMalaysia atau aplikasi MyCuaca. – KOSMO! ONLINE